30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Muhammad Bakhtiar dilantik sebagai pengerusi baharu MyCreative

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KUMPULAN MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) mengumumkan pelantikan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik sebagai pengerusi baharu, berkuat kuasa hari ini.

Bakhtiar, 57, menggantikan Noor Azmi Mat Said, yang tamat penggal perkhidmatan dua tahun di subsidiari milik penuh Kementerian Kewangan (Diperbadankan) di bawah seliaan Kementerian Komunikasi Digital Malaysia (KKDM).

Muhammad Bakhtiar yang merupakan Ahli Parlimen Balik Pulau menzahirkan rasa berbesar hati kerana diamanahkan untuk memegang peranan baharu ketika industri kreatif melalui detik yang cukup penting.

Menurut beliau, dengan kemunculan idea-idea inovatif daripada artis tempatan pada era pasca-pandemik, ini adalah masa paling tepat untuk menjadi sebahagian daripada sektor yang dinamik ini.

“Saya sangat teruja untuk bekerja bersama-sama dengan pasukan berbakat di MyCreative dan entiti-entitinya untuk menyokong serta meningkatkan idea-idea berwawasan ini dengan strategik.

“Secara jangka panjang, sektor ekonomi jingga ini mempunyai potensi yang cukup positif dan ia akan memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, dengan unjuran sehingga RM31.9 bilion menjelang tahun 2025.

“Saya komited untuk bekerja keras dengan pasukan MyCreative bagi mencapai matlamat ini dan membantu memastikan kejayaan serta pertumbuhan industri kreatif yang berterusan,” katanya.

Bakhtiar yang berasal dari Pulau Pinang merupakan seorang alumni Penang Free School dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) dari Universiti Arizona, Tucson, Arizona, Amerika Syarikat.

Beliau memulakan kerjaya korporatnya pada tahun 1989 di Malaysia Smelting Corporation sebagai Pegawai Kakitangan dan terus mendaki tangga korporat dengan menerajui pelbagai inisiatif inovatif di organisasi yang berbeza, sehingga jawatan terakhirnya di Linear Technology Corporation sebagai Ketua Jabatan Sumber Manusia pada tahun 2013.

Pada tahun 2018, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Semasa memegang jawatan tersebut, Bakhtiar turut dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Pelancongan dan Pasukan Petugas KLIA, di mana beliau telah memimpin dengan cemerlang.

Sebelum itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis untuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang dari tahun 2013 hingga 2018, di mana beliau memberikan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan bandar raya itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative, Junady Nawawi berkata sangat teruja berkerjasama dengan tokoh berkenaan yang berpengalaman luas menerajui pembangunan dan perancangan strategik serta mempunyai minat yang tinggi terhadap seni, budaya dan warisan.

“Ini semua dapat membantu dalam usaha membawa usahawan dan penggiat seni tempatan ke peringkat global. Adalah menjadi matlamat kolektif kami untuk memastikan MyCreative memberi impak positif kepada semua pihak berkepentingan dalam ekosistem kreatif, termasuk artis, usahawan, pelabur, dan masyarakat.

“Kami yakin kepimpinan luar biasa beliau dan komitmen beliau terhadap kecemerlangan akan membantu kami mencapai matlamat dan memacu pertumbuhan serta kejayaan industri kreatif di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, ujar beliau, Lembaga Pengarah dan Pengurusan MyCreative ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Noor Azmi atas sumbangan beliau kepada pembangunan industri kreatif sebagai Pengerusi sebelum ini.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah dikenali sebagai seorang pemimpin yang berpendirian dan bijaksana, yang tidak pernah gusar menghadapi keputusan yang sukar, membantu kami mengharungi salah satu masa yang paling mencabar dalam sejarah semasa era pandemik.

“Lebih-lebih lagi, beliau telah berbuat demikian sambil menunjukkan sikap profesionalisme dan kebolehan yang wajar diteladani oleh seluruh ahli pasukan MyCreative yang cukup bertuah kerana dapat bekerjasama dengan beliau serta meneruskan legasinya,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan