36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

KPDN edar ‘food bank’ ke kawasan terjejas banjir

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan segera menghantar bantuan ‘food bank’ kepada penduduk di negeri terjejas banjir terutama di Johor.

Menteri Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kementerian setakat ini memfokuskan pengedaran makanan sedia masak dan makanan kering ke pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan teruk terjejas seperti di Kluang dan Segamat.

“Saya telah mengarahkan supaya bantuan makanan melalui ‘food bank’ ini dapat segera dihantar ke destinasi terjejas.

“Jadi jangan risau kerana bekalan akan sentiasa mencukupi. Saya yakin bukan setakat KPDN malah JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan pihak-pihak lain seperti kerajaan negeri juga akan sediakan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Menu Rahmah dan Penyerahan Sumbangan Bakul Rahmah di Restoran Infaq, di Wakaf Tok Pelam hari ini.

Salahuddin berkata, kementerian juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi penyelamat di kawasan terjejas bagi memastikan bekalan makanan akan sampai kepada mangsa termasuk di lokasi yang sukar diakses.

Berdasarkan portal Info Bencana JKM, Johor merupakan negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir dengan jumlah mangsa melebihi 7,000 orang daripada lebih 2,000 keluarga, setakat ini.

Sementara itu Salahuddin berkata, setakat ini sebanyak 1,142 premis makanan telah menyertai inisiatif Menu Rahmah di seluruh negara.

“KPDN menyeru lebih ramai lagi pemain industri khususnya industri restoran dan makanan supaya dapat bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan untuk menjayakan aspirasi ini bagi meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Terdahulu pada program berasingan, Salahuddin berkata, KPDN berharap kadar bayaran sewa tapak premis di bazar Ramadan pada tahun ini dapat dikurangkan bagi membolehkan para peniaga menjual makanan dan minuman dengan lebih murah atau pada harga ‘Rahmah’.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menjayakan inisiatif Bazar Ramadan Rahmah tersebut.

“Setakat ini DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan Majlis Bandaraya Ipoh antara yang terawal menawarkan tempat untuk kami adakan jualan Bazar Ramadan Rahmah.

“Kami juga akan kenal pasti lokasi berpotensi lain di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Rahmah di pasar raya Sabasun HyperRuncit di Bukit Kecil – BERNAMA

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan