32.7 C
Kuala Lumpur
Monday, March 27, 2023

Johor cadang tubuh Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir

Mesti Baca

Kerajaan negeri hari ini mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir yang akan dibarisi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pembentukan jawatankuasa yang akan dianggotai ADUN merentasi parti politik itu, sebagai menyahut peringatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau berkata, menerusi titah baginda Khamis lalu, Sultan Ibrahim menggesa semua bangsa Johor supaya membudayakan amalan mesra alam, menjaga kebersihan, dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Baginda juga berkenan mengingatkan semua supaya setiap pembangunan yang hendak dibuat di kawasan berbukit atau tanah tinggi mestilah mengekalkan bentuk.

“Untuk makluman Dewan yang mulia ini, peringatan Tuanku berkait rapat dengan misi kerajaan negeri untuk mencari langkah efektif bagi menangani isu perubahan iklim.

“Mengikut Fasal 32(8) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Johor, kerajaan negeri akan mengemukakan satu rundingan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir semasa sidang DUN ini dan menjadi harapan saya agar rundingan ini akan disokong sebulat suara ahli-ahli Yang Berhormat,” kata Onn Hafiz (BN-Machap).

Baca juga:   Amaran hujan lebat di negeri Pantai Timur

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail hari ini.

Onn Hafiz menjawab soalan Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya), Chiong Sen Sern (PH-Bukit Batu), Nor Rashidah Ramli (BN-Parit Raja) dan Chew Chong Sin (PH-Mengkibol) mengenai usaha dan pelan kerajaan negeri dalam kesiapsiagaan hadapi banjir serta peruntukan tambahan kepada agensi terlibat.

Baca juga:   DUN Pahang, Perlis bubar hari ini

Berhubung soalan tambahan Liow mengenai jawatankuasa itu, beliau berkata, penubuhannya sangat penting supaya Johor dapat memperhalusi rancangan yang telah diatur dan dirangka, memperbaiki serta belajar daripada negara yang pernah melalui bencana itu, selain turut mempunyai pelan yang komprehensif.

Selain itu, beliau juga menjelaskan mengenai peruntukan tambahan yang dimohon daripada kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.153 bilion bagi membaiki kerosakan susulan bencana itu.

Menurutnya selain projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), permohonan peruntukan adalah untuk membaiki jalan raya dan infrastruktur. 

Antaranya, peruntukan RM168.64 juta menerusi Jabatan Kerja Raya bagi membaik pulih jalan, laluan jalan kaki, cerun dan lain-lain; RM35.676 juta menerusi pejabat daerah untuk baiki sekolah, longkang dan parit; selain RM904.772 juta menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran bagi projek RTB dan sistem saliran, baik pulih jambatan, tebing serta cerun.

Onn Hafiz berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Chew mengenai peruntukan tambahan yang dimohon untuk diberikan kepada agensi terlibat bagi membaiki kerosakan akibat banjir.

Lebih 85,000 rakyat Johor di 10 daerah di negeri ini terjejas dalam bencana banjir yang bermula 28 Februari lalu. – BERNAMA

Baca juga:   Banjir: 31 sekolah di Johor tidak mulakan sesi persekolahan esok

Wartawan

Terkini

Guan Eng saman fitnah Muhyiddin, isu cukai Yayasan Albukhary

Pengerusi DAP, Lim Guang memfailkan saman terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau dikaitkan membatal...

Lagi Artikel Berkaitan