27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

i-Sayang: Dua peratus caruman KWSP suami untuk isteri

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini boleh memindahkan dua peratus caruman mereka kepada akaun isteri melalui kemudahan i-Sayang.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kemudahan terbaharu itu adalah hasil kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menurutnya, kemudahan i-Sayang adalah sebahagian daripada usaha berterusan KWSP untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada institusi kekeluargaan.

“Ia juga akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai perlindungan skim keselamatan sosial formal untuk menabung demi masa depan persaraan mereka.

“Dengan membolehkan suami untuk mencarum secara sukarela sebanyak dua peratus caruman bulanan, ia memberikan peluang kepada isteri untuk mempunyai simpanan jangka masa panjang di samping mendapat akses kepada keselamatan sosial dan kewangan yang berkualiti sepertimana yang dinikmati oleh ahli KWSP,” katanya dalam satu kenyataan.

i-Sayang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Kuala Lumpur, hari ini.

Advertisements

Turut hadir, Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri dan Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

Lebih kurang 2.4 juta suri rumah Malaysia tidak bekerja atau berada di luar sektor tenaga buruh, seterusnya tidak mempunyai sebarang bentuk keselamatan sosial, menjadikan mereka lebih rentan terhadap kesulitan dan kejutan kewangan.

Permohonan i-Sayang boleh dilakukan secara dalam talian melalui i-Akaun KWSP (Ahli), Self-Service Terminal (SST) KWSP, atau di mana-mana cawangan seluruh negara.

Maklumat lanjut mengenai i-Sayang boleh didapati di laman sesawang KWSP di www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan