BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sepatutnya sudah meninggalkan arena politik dengan memegang peranan sebagai negarawan ulung.
Pakar ekonomi, Jomo Kwame Sundaram berkata, beliau ada memaklumkan perkara itu kepada mantan Ahli Parlimen Langkawi tersebut dalam pertemuan mereka kira-kira lapan bulan lalu.
“Saya menggesa Mahathir untuk mengambil peranan sebagai negarawan ulung untuk membantu membangunkan negara.
“Sudah tentu, seperti lazimnya, dia tolak nasihat saya dan kita tahu akibatnya,” katanya pada forum dalam talian bertajuk “Malaysia’s future in a fractured world” anjuran The Oxford and Cambridge Society Malaysia di siaran YouTube malam tadi.
Untuk rekod, Dr. Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri dua kali tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu serta gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi.
Dr.Mahathir yang bertanding di bawah tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam kerjasama gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) turut kehilangan deposit dalam saingan lima penjuru.
Ahli politik berusia 98 tahun itu meneruskan kerjaya politiknya dengan menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) pada 24 Februari lalu.
Sebelum ini, Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai pengerusi Pejuang selepas tewas pada PRU15.
Pejuang kemudian menamatkan kerjasamanya dengan Gerakan Tanah Air (GTA) pada 14 Jan. Gabungan parti-parti Melayu itu ditubuhkan oleh Mahathir pada Ogos tahun lalu.
Percubaan Pejuang untuk menyertai Perikatan Nasional telah ditolak gabungan itu.
Pada 19 Mac lepas, Dr. Mahathir melemparkan kritikan keras terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin diktator selepas rancangannya untuk mengadakan perhimpunan pro-Melayu tidak kesampaian serta mendakwa kerajaan memain peranan untuk membatalkan perhimpunan itu. – EDISI9

