29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Lelaki mengamuk ugut bunuh, pecah cermin kereta ditangkap

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS menangkap seorang lelaki dan merampas sebilah parang sepanjang 64 sentimeter susulan dipercayai mengamuk dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita kira-kira pukul 2 petang.

Menurutnya, kejadian itu berlaku pukul 2.02 petang ketika pengadu menerima panggilan telefon daripada ibunya yang memaklumkan kakak pengadu berada di rumah itu bersama seorang lelaki dipercayai teman lelakinya.

“Pada masa sama, bekas isteri kepada teman lelaki kakaknya turut berada di lokasi kejadian.

“Teman lelaki kakaknya mengamuk dan memecahkan cermin hadapan kereta Proton Saga FLX milik pengadu dan mematahkan tempat pemegang pintu sebelah pemandu menggunakan parang.

“Malah, suspek berusia 40 tahun berkenaan juga mengugut mahu membunuh emak dan anak pengadu dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, susulan kejadian itu, suspek ditangkap di Jalan 30, Kampung Cheras Baru, di sini, jam 3.30 petang, semalam.

Menurutnya, punca suspek mengamuk dipercayai kerana bertengkar secara lisan dengan bekas isterinya di hadapan rumah teman wanitanya.

“Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai satu rekod dadah, manakala hasil ujian saringan air kencing adalah positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 13 Februari nanti.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah yang mendatangkan ketakutan dan perbuatan khianat atas harta benda,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan