TIGA sekawan yang menaiki kenderaan yang dilaporkan hilang sebelum ini nekad cuba meloloskan diri dari ditangkap polis dalam satu pemeriksaan di Sri Damansara, Petaling Jaya.
Bagaimanapun, salah seorangnya tumpas, apabila polis berjaya menangkap seorang remaja lelaki berusia 18 tahun kurang dua jam selepas kenderaan polis dirempuh dalam pemeriksaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian bermula apabila kereta Proton Wira dinaiki tiga lelaki dikesan tidak berhenti ketika lampu isyarat merah di Sri Damansara dan polis kemudian cuba menahan kenderaan berkenaan.
Menurut beliau, kesalahan itu dikesan unit peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ketika rondaan cegah jenayah di kawasan pentadbiran Balai Polis Sri Damansara, jam 2.30 pagi semalam.
“Sebuah kenderaan dikesan dipandu dalam keadaan mencurigakan dan tidak mematuhi lampu isyarat merah. Polis cuba menahan kereta itu di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Damai 1, namun dua lelaki dalam kenderaan itu telah keluar dan melarikan diri.
“Seorang lagi lelaki yang memandu memecut laju dan melulu melawan arus sebelum melanggar kereta peronda polis sehingga menyebabkan kenderaan itu mengalami kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ujar Mohd Fakhrudin lagi, pemandu itu juga bertindak melarikan diri sebelum polis yang memeriksa kenderaan ditinggalkan itu menjumpai pelbagai peralatan, disyaki digunakan untuk kegiatan curi kenderaan.
Menurutnya, hasil semakan polis mendapati kenderaan digunakan suspek dilaporkan hilang di Ampang sebelum ini.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Sri Damansara berjaya menahan seorang lelaki berusia 18 tahun di kawasan Blok C Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 3.45 pagi semalam.
“Suspek direman dua hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 28(1) Kanun Keseksaan, selain Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
-EDISI9