31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

55 PATI ditahan berselindung di sebuah perkampungan haram

Perkampungan ini juga dikesan dilengkapi surau, kedai runcit, kedai membekalkan gas memasak selain warung.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 55 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas Jabatan Imigiresen Malaysia (JIM) menggempur sebuah perkampungan haram yang dilengkapi warung dan kedai runcit di Cyberjaya, tengah malam tadi.

Serbuan pada jam 12.01 tengah malam itu turut melibatkan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Pasukan Gerakan Am (PGA).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua PATI warga Indonesia yang berusia lingkungan 16 hingga 70 tahun itu terdiri daripada 26 lelaki dan 29 wanita diberkas.

“Kita juga menganggarkan kira-kira 40 warga asing tanpa dokumen berjaya melarikan diri ke dalam kawasan hutan dan belukar yang di kelilingi kayu serta kaca dipercayai menjadi ‘pelindung’ kampung terbabit.

“Kita (imigresen) percaya PATI yang ditahan ini masuk ke Malaysia dengan menggunakan pas lawatan kerja sementara (PLKS) sejak 2016 dan bekerja sebagai pekerja pembinaan serta tukang cuci,” katanya di sini.

Penguatkuasa menahan PATI yang cuba melarikan diri dengan menyorok di bawah rumah.

Ketika serbuan dilakukan, beliau berkata, terdapat PATI cuba melarikan diri dengan menyorok di dalam reban ayam dan bawah rumah.

Katanya, pasukan operasi juga berdepan kesukaran apabila lokasi perkampungan berusia tujuh tahun ini tersorok dan sukar dikesan kerana kedudukannya tiga hingga empat kilometer dari laluan utama.

“Rumah PATI ini juga didirikan di celah pokok dan tepi belukar. Malah, dipercayai juga mereka perlu membayar sewa RM500 setiap rumah.

“Bekalan elektrik adalah menggunakan generator manakala sumber bekalan air diperoleh dari perigi yang digali dengan kedalaman kira-kira tiga hingga lima meter. Kemudahan tandas bagaimanapun agak naif,” ujarnya.

Tambahnya, perkampungan ini juga dikesan dilengkapi surau, kedai runcit, kedai membekalkan gas memasak selain warung.

“Soal siasat terhadap wanita yang ditahan ini juga memaklumkan mereka menjalankan perniagaan kecil-kecilan seperti nasi lemak, goreng pisang serta kuih di sekitar Cyberjaya,”katanya.

Jelas Khairul Dzaimee, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti siapa ketua di perkampungan ini yang memainkan peranan mengutip duit sewa selain akan mengenal pasti pemilik tanah terbabit.

“Kita juga akan melaporkan kepada pihak Majlis Perbandaran Sepang untuk tindakan memusnahkan rumah-rumah yang didirikan ini bagi memastikan penempatan ini tidak lagi didiami PATI,” katanya.

Ujar beliau, kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – Edisi 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan