SEBUAH gerai roti canai popular di Jalan Transfer, George Town, Pulau Pinang yang tular selepas telur digunakan masih terdapat najis ayam diarahkan tutup 14 hari berkuat kuasa hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin dilaporkan berkata, notis tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bagi membolehkan pengusaha pemilik gerai melakukan kerja-kerja pembersihan.
“Notis penutupan itu dikeluarkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut di sini, selepas melakukan pemeriksaan di gerai tersebut pada jam 10 pagi ini,” katanya hari ini.
Ujar Norlela lagi, pegawai penguatkuasa BKKM yang menjalankan pemeriksaan itu turut mengeluarkan kompaun RM500 ke atas gerai itu kerana tidak menyediakan persekitaran yang bersih kepada pelanggan ketika diperiksa.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 53 saat menunjukkan seorang pekerja gerai roti canai dilihat mengambil telur ayam tidak dicuci dan meletakkannya dalam satu bakul berhampiran tempat menebar roti.
Dalam rakaman itu, kelihatan lelaki tersebut tidak menyusun telur dengan baik menyebabkan ia pecah sebelum meneruskan menebar roti untuk pelanggan.
-EDISI9