24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Pemberian tol percuma 20, 21 Jan di semua lebuhraya

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PEMBERIAN tol percuma pada semua jenis kenderaan pada 20 dan 21 Januari ini akan dilaksanakan di semua lebuh raya.

Ia akan bermula pada jam 12.00 tengah malam, 20 Januari 2023 (Jumaat) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 21 Januari 2023 (Sabtu).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif ini melibatkan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM40 juta.

“Dengan pelaksanaan diskaun tol ini diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya dan dinasihatkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan, “katanya menerusi kenyataan di sini.

Beliau berkata, pelaksanaan tol percuma ini juga adalah tanda keprihatinan Kerajaan dalam menyambut kemeriahan perayaan Tahun Baru Cina yang merupakan simbolik kepada titik permulaan dalam kehidupan masyarakat Cina setiap tahun.

“Ini juga susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Januari 2023 telah bersetuju dengan pemberian tersebut dan selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan dalam menitikberatkan soal kebajikan rakyat yang sering bergelut dengan isu kos sara hidup,”katanya.

Advertisements

Nanta berkata, inisiatif ini dilaksanakan sebagai meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum Cina yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

“Ini juga adalah bertepatan dengan konsep Masyarakat Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri di dalam program Permukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan yang diadakan baru-baru ini di mana golongan sasaran bantuan Kerajan mestilah merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.

“Semua golongan yang memerlukan bantuan haruslah dibantu dengan sebaiknya tanpa mengambil kira perbezaan rupa dan warna kulit.

“Ahli keluarga tentunya ingin mengambil peluang ini untuk pulang ke kampung bagi meluangkan masa bersama saudara-mara dan kaum keluarga.

“Justeru, aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Tahun Baru Cina ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta.

“Pengguna juga dinasihatkan untuk mendapatkan rehat secukupnya dan memastikan baki kad Touch ‘n Go serta eWallet adalah mencukupi,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan