26.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Jimat kos: Sambutan Hari Wilayah sederhana

JWP mengurangkan perbelanjaan hampir 10 kali ganda berbanding sambutan perayaan itu sebelum ini.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

HARI Wilayah Persekutuan 2023 akan disambut secara sederhana pada 1 Februari ini dengan pengurangan perbelanjaan hampir 10 kali ganda berbanding sebelum ini.

Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) Datuk Seri Rosida Jaafar berkata, ia selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai langkah penjimatan dalam perbelanjaan yang perlu diamalkan.

“Perbelanjaan yang dijimatkan itu juga akan digunakan sebagai bantuan untuk golongan asnaf dan B40 di Wilayah Persekutuan.

“Kita bukan hapuskan terus (sambutan), tapi secara bersederhana dan berhemah.

“Kita tetap laksanakan program berkaitan dengan cara lain iaitu dengan komuniti, pihak sekolah dan swasta,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bendera Wilayah Persekutuan dan Bantuan Kasih Putrajaya, hari ini.

Advertisements

Pada majlis itu, sebanyak 10,000 bendera Wilayah Persekutuan diedarkan kepada 60 persatuan penduduk, 54 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan 27 sekolah di Putrajaya sebagai memupuk semangat kekitaan dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan.

Turut berlangsung penyerahan sumbangan baucar berjumlah RM300 kepada 100 penerima daripada golongan asnaf dan B40 di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Rosida berkata, JWP telah mengeluarkan arahan untuk memasang dan mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan di premis swasta atau milik persendirian di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya atau Labuan.

“Memang ada arahan begitu tapi tidaklah sampai nak menyaman.

“Kalau tak pamerkan mungkin tak dapat diskaun (pembaharuan) lesen. Kalau mereka pamerkan mungkin tahun depan lesennya kita kurangkan, ada diskaun dan ‘goodies’ yang lain,” katanya ketika ditanya implikasi tidak memasang bendera seperti yang disarankan.- BERNAMA

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan