DATUK Seri Anwar Ibrahim mengaku telah melantik anak sulungnya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan di Pejabat Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak melibatkan bayaran elaun.
Menjelaskan perkara itu, Anwar berkata, beliau sendiri mempelawa Nurul Izzah untuk membantunya sebagai penasihat.
“Memang saya minta dia, pelawa dia untuk membantu saya sebagai penasihat di Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan. Tetapi saya tidak membayar apa-apa elaun kepada dia,” katanya seperti dilapor Astro Awani.
Perdana Menteri menyatakan demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Meru Raya, Ipoh hari ini.
Nurul Izzah menerusi satu temu bual bersama akhbar The Star mengakui telah dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan di Pejabat Perdana Menteri sejak 3 Januari lalu.
Beliau berharap melalui pengalaman sebagai bekas Ahli Parlimen yang terlibat dalam pelbagai bidang mampu memberi manfaat dalam mengemudi tadbir urus ekonomi, akauntabiliti dan dasar polisi negara.
“Saya telah berkhidmat sebagai Penasihat Kanan kepada Perdana Menteri, khusus dalam Ekonomi dan Kewangan berkuat kuasa 3 Januari 2023.
“Saya harap melalui pengalaman saya sebagai seorang Ahli Parlimen yang terlibat dalam pelbagai bidang seperti isu kemiskinan, teknikal serta pendidikan vokasional sejak empat dekad lalu mampu memberi manfaat dalam mengemudi tadbir urus ekonomi, akauntabiliti dan dasar polisi negara,” kata beliau seperti dilapor akhbar tersebut hari ini.
Anwar mengulas ciapan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mempertikaikan pelantikan anaknya itu yang mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan elektrik sebagai penasihat hal ehwal ekonomi.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menjelaskan bahawa Nurul Izzah juga mempunyai kelulusan dalam bidang dasar awam yang berkaitan politik, ekonomi dan sosial dari Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, katanya, soal pelantikan itu tidak semestinya mengikut kelulusan masing-masing.
Anwar turut memberi contoh, beliau sendiri yang tiada kelulusan berkaitan tetapi pernah menjadi Menteri Kewangan selama lapan tahun.
“Malah, pelantikan menteri-menteri dari Perikatan Nasional (PN) seperti dari Bersatu dan Pas juga tidak mengikut kelulusan masing-masing,” katanya.
Jemaah menteri Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar pada 14 Disember tahun lalu telah memutuskan semua pengerusi dan ahli lembaga pengarah lantikan politik ditamatkan perkhidmatan mereka dengan serta-merta.
Menerusi satu pekeliling yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian turut diminta untuk memberikan kerjasama bagi melaksanakan perkara tersebut. – Edisi 9