28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Harga barang: Bukan sekadar urus permintaan

Dari segi ekonomi, bendung kenaikan harga melalui penurunan permintaan adalah kenyataan yang ‘terlalu mudah’.

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh PROF DR NOOR AZLAN GHAZALI

SAYA berkesempatan mendengar sidang media Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang melaporkan inflasi dan situasi harga terkini baru-baru ini.

Menarik mendengar penjelasan yang lebih terperinci.

Rumus utama yang saya fahami, Rafizi mengutarakan demand-side intervention sebagai antara langkah baharu untuk menurunkan harga.

Kita perlu mengambil langkah untuk meningkatkan keanjalan permintaan untuk membendung kenaikan harga.

Rafizi memaklumkan keanjalan permintaan rakyat Malaysia untuk makanan dan minuman bukan alkohol umumnya adalah rendah.

Harga yang meningkat tidak dituruti dengan penurunan permintaan.

Logik beliau ialah, sekiranya permintaan menurun berikutan kenaikan harga (iaitu keanjalan permintaan tinggi), kenaikan harga dapat dikurangkan.

Beliau mencadangkan intervensi permintaan dilaksanakan tanpa memperincikan apakah bentuk intervensi yang akan diambil.

Ramai yang menghubungi saya bertanya mengenai kenyataan ini.

Pertama, sebaiknya pihak yang berkenaan harus lebih berhati-hati dan memahami secara menyeluruh dalam mengutarakan cadangan penyelesaian ke atas masalah ekonomi. Get the right economics.

Kaji secara terperinci apakan punca yang menyebabkan kenaikan harga, bukan ‘kesan-akibat’ kenaikan harga.

Apakah faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga makanan sejak kebelakangan ini?

Pastinya peningkatan harga bukan disebabkan oleh peningkatan permintaan. Permintaan stabil dan tiada lonjakkan akibat musim perayaan.

Besar kemungkinan ianya berpunca dari kekurangan bekalan, supply-side.

Dengan kadar pengeluaran kendiri (Self Sufficiency Level-SSL) pengeluaran ayam dan telur ayam mencecah 104 peratus dan 115 peratus, adalah jelas kenaikan harga ayam dan telur ayam adalah berpunca daripada bekalan.

Bekalan kurang disebabkan oleh pengurangan pengeluaran oleh pengeluar tempatan atau pun bekalan dieksport ke pasaran yang lebih menguntungkan.

Mengharapkan penurunan permintaan sebagai penyelesaian kepada kenaikan harga adalah tidak betul.

Keanjalan permintaan merujuk kepada respons permintaan terhadap kenaikan harga.

Advertisements

Umumnya kenaikan harga menyebabkan permintaan menurun. Sekiranya kadar penurunan permintaan lebih besar dari kadar kenaikan harga, permintaan dianggap anjal.

Keanjalan adalah tertakluk kepada beberapa faktor penentu utama.

Antaranya, status produk, keupayaan beralih kepada produk lain (switching options), tahap pendapatan dan juga kesegeraan keperluan produk berkenaan.

Adakah ayam dan telur menghampiri status ruji? Makanan utama rakyat setiap hari?

Adakah terdapat produk makanan lain yang merupakan pengganti yang sesuai untuk pengguna beralih dari ayam dan telur ayam?

Rafizi memaklumkan jumlah permintaan dalam kategori makanan dan minuman bukan alkohol tidak menurun.

Adakah kuantiti permintaan atau jumlah perbelanjaan yang dirujuk? Mungkinkah kuantiti kekal tetapi jumlah perbelanjaan meningkat berikutan harga yang lebih tinggi?

Pengguna terpaksa mengorbankan perbelanjaan yang lain. Khususnya kumpulan berpendapatan rendah tidak mempunyai banyak pilihan.

Profail perbelanjaan yang lebih terperinci diperlukan. Khususnya mengikut kelas pendapatan untuk Rafizi merumuskan status keanjalan permintaan.

Kumpulan berpendapatan tinggi lazimnya mempunyai keanjalan yang rendah terhadap kenaikan harga.

Dalam konteks harga ayam dan telur ayam, mungkin permintaan mereka langsung tidak anjal. Adakah kumpulan ini yang dimaksudkan oleh Rafizi?

Adalah tidak wajar mengharapkan kumpulan berpendapatan rendah untuk bertindak menurunkan permintaan sebagai langkah mengekang kenaikan harga.

Intervensi untuk meningkatkan keanjalan permintaan kumpulan berpendapatan rendah? Ini tidak betul dan tidak wajar.

Dari sudut ekonomi, saya berpandangan kenyataan Rafizi untuk kenaikan harga dibendung melalui penurunan permintaan adalah kenyataan yang ‘terlalu mudah’.

Penurunan permintaan sebagai langkah mengekang kenaikan harga yang kita alami too simplistic! Ia seolah-olah menggambarkan penurunan permintaan adalah antara penyelesaian kenaikan harga.

Dalam kes yang ekstrim, adakah tiada permintaan langsung merupakan langkah efektif membendung kenaikan harga? Ini bukan penyelesaian!

Kita berhadapan dengan banyak lagi masalah dan cabaran ekonomi. Logik ekonomi amat penting dalam menangani masalah-masalah ini.

Perekonomian yang betul penting dalam membentuk polisi dan tindakan yang akan diambil.

Semoga Menteri Ekonomi dan para pegawai berkenaan dapat menelaah setiap satu masalah ini dengan lebih terperinci dan membawa ekonomi Malaysia ketahap yang cemerlang.


Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali adalah mantan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia dan pakar ekonomi.

Advertisements

Terkini

Didenda RM30,000 jual RON95 kepada kenderaan asing

SEORANG pemilik sebuah stesen minyak didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang kerana menjual barangan kawalan berjadual petrol RON95 kepada...

Lagi Artikel Berkaitan