36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Bekas guru besar sekolah agama didakwa terima rasuah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS guru besar sekolah rendah agama (SRA) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, hari ini, dengan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM164,800 pada 2019 dan 2021.

Suapan itu adalah bagi kerja-kerja selenggara dan naik taraf bangunan dan infrastruktur SRA dalam daerah Petaling dan Kuala Selangor.

Kamaludin Sahlan, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan pertuduhan, Kamaludin yang sebelum ini bertugas di sebuah SRA di daerah Petaling didakwa meminta 11 peratus dari nilai projek dan menerima RM164,800 menerusi pindahan atas talian ke akaun bank miliknya daripada seorang lelaki berusia 52 tahun.

Ia sebagai dorongan serta membantu individu berkenaan mendapatkan kerja-kerja selenggara dan naik taraf bangunan dan infrastruktur SRA dalam daerah Petaling dan Kuala Selangor.

Justeru dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut seksyen 24(1) Akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Seri Medan, Telok Panglima Garang, Kuala Langat dan di sebuah cawangan bank di Kota Kemuning, Shah Alam antara Mei 2019 hingga April 2021.

Pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Mohd Aliff Shaharuzaman manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon tertuduh dikenakan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah dan melaporkan diri ke Pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijamin RM30,000 dengan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Hakim menetapkan sebutan semula kes pada 26 Januari depan.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan