34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pasukan Op Cantas Khas PDRM pantau PRU-15

Pasukan itu turut bertindak mengawal tingkah laku dan gerak kerja pihak terbabit dengan gangsterisme yang cuba mengambil kesempatan sepanjang tempoh PRU-15 diadakan.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengatur gerak pasukan Op Cantas Khas untuk menjalankan risikan, pemantauan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba melakukan kekacauan sepanjang proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pasukan itu turut bertindak mengawal tingkah laku dan gerak kerja pihak terbabit dengan gangsterisme yang cuba mengambil kesempatan sepanjang tempoh PRU-15 diadakan.

Selain itu menurutnya, pihaknya menempatkan pegawai PDRM dalam Pasukan Pemantau Kesalahan Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memastikan setiap pihak melakukan kempen mengikut garis panduan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“PDRM bersama SPR serta agensi lain yang berkaitan juga akan melakukan pemantauan setiap masa dalam memastikan proses berkempen dan pengundian dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, seramai 80,000 pegawai dan anggota seluruh negara diaturgerak untuk penugasan PRU-15 bagi memastikan tahap keselamatan terjamin dan memberi keyakinan kepada orang ramai untuk keluar mengundi secara selamat.

Beliau turut menasihatkan parti-parti politik untuk berkempen secara beretika dan matang serta tidak menyentuh isu sensitif seperti agama dan perkauman.

“Pihak yang terlibat secara langsung dalam proses pilihan raya seperti calon dan pengurus kempen harus memikul tanggungjawab dalam mengendali dan menguruskan sentimen penyokong masing-masing agar tidak berlaku insiden seperti di Tenom, Sabah.

“Kejadian berkenaan adalah contoh bagaimana situasi penyokong yang tidak dikawal boleh mengakibatkan kemudaratan yang seharusnya tidak berulang kembali kerana (ia) adalah ancaman kepada tahap keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya

-EDISI9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan