28.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Konsep debat dalam kelas mampu bina kebolehan murid – Radzi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KONSEP debat boleh digunakan dalam kelas sebagai thematic learning atau pendidikan berasaskan tema bagi membina kebolehan murid dalam konteks inovasi pendidikan.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, dengan demikian, murid dapat memahami konsep dan tema seterusnya dapat membina keyakinan diri untuk berhujah.

“Dalam konteks perbahasan pula, saya menyentuh tentang elemen Artikulasi, iaitu hujahan yang berkualiti berasaskan kepada penguasaan ilmu, data dan fakta.

“Ini akan menjadikan setiap hujah menjadi lebih menarik dan difahami dengan jelas.

“Kesemua itu adalah merupakan aspirasi pengenalan konsep Sekolahku SEJAHTERA yang mana terkandung di dalamnya 14 elemen atau nilai-nilai murni kehidupan,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Salah seorang pembahas semasa Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-47 di WTC, Kuala Lumpur.

Terdahulu, beliau menyaksikan Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-47 yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur.

Dalam pertandingan itu, sebanyak 70 buah sekolah berasrama penuh serta Maktab Tentera Diraja (MTD) mengambil bahagian.

Advertisements

Bercakap mengenai pertandingan tersebut, Radzi berkata, keceriaan dan keterujaan jelas terpancar pada wajah peserta dan juga penyokong dalam majlis yang cukup meriah pada hari ini, setelah dua tahun pertandingan bahas Piala Perdana Menteri tidak diadakan berikutan pandemik COVID-19.

“Kepada semua anak-anak generasi pewaris negara, yakinlah setiap daripada anda mempunyai kebolehan dan kekuatan.

“Apa yang penting, fokus untuk terus bina kekuatan diri berdasarkan kelebihan yang ada. Dengan keyakinan, usaha dan tawakal insyaAllah, kekuatan tersebut dapat memberi manfaat yang lebih meluas,” katanya.

Katanya, tahniah kepada Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) kerana muncul juara bagi kedua-dua kategori.

“Kepada pasukan Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASIS) dan pasukan lain, anda telah lakukan yang terbaik. Teruskan usaha untuk mencapai kejayaan dalam apa jua yang dilaksanakan,” katanya.

Pada pertandingan akhir itu, melibatkan pertembungan antara SAS dan TKC bagi kategori Bahasa Inggeris sementara SAS dan SM ASIS untuk kategori Bahasa Melayu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah Tinggi kekal sabitan, hukuman terhadap Siti Bainun

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali...

Lagi Artikel Berkaitan