24.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Pencapaian lebih baik, 874 calon STPM 2021 peroleh PNGK 4.00

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 874 atau 2.41 peratus calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2021 memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00 sekali gus merekodkan peningkatan berbanding pencapaian pada 2020.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 584 calon adalah daripada golongan B40.

Menurutnya, STPM 2021 menyaksikan pertambahan jumlah calon yang mendapat 5A dalam kesemua mata pelajaran diambil daripada 23 orang pada 2020 kepada 36 orang atau 56.52 peratus pada 2021.

Bagaimanapun, katanya, bilangan calon yang mendaftar untuk STPM 2021 adalah seramai 42,369 orang, menurun sebanyak 5.22 peratus (2,335 calon) daripada 44,704 calon yang mendaftar STPM 2020.

“Dari segi pencapaian PNGK keseluruhan, peratusan calon STPM 2021 pada PNGK 3.75 ke atas adalah 9.04 peratus, PNGK 3.00 ke atas (41.72 peratus), PNGK 2.75 ke atas (55.85 peratus) dan PNGK 2.00 ke atas adalah 88.24 peratus.

“Sehubungan itu, PNGK Nasional STPM 2021 meningkat kepada 2.79, sebanyak 0.01 mata berbanding tahun 2020, iaitu 2.78,” katanya semasa mengumumkan Keputusan STPM 2021 di Putrajaya hari ini. lapor Kosmo!.

Advertisements

Mohd. Ekhwan berkata, buat julung kali, perbandingan PNGK keseluruhan antara calon bandar dan luar bandar juga didapati tiada perbezaan jurang pencapaian yang mana kedua-duanya memperoleh PNGK 2.79.

Tambahnya, peratusan calon yang mendapat lulus penuh (gred C ke gred A) dalam lima dan empat mata pelajaran juga meningkat sebanyak 30,160 atau 73.7 peratus.

“Kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2021 turut mencatatkan lulus penuh melebihi 70 peratus.

Satu pelajaran menunjukkan peningkatan melebihi 3.00 peratus dari segi lulus penuh iaitu Bahasa Cina manakala satu mata pelajaran menurun melebihi -3.00 peratus iaitu Pengurusan Matematik,” ujarnya.

STPM 2021 merekodkan sebanyak 40,926 calon yang hadir terdiri daripada 40,743 calon sekolah kerajaan, 60 calon sekolah swasta, 104 calon persendirian dan 19 calon sekolah kerajaan negeri.

Ia meliputi 28,448 calon lelaki dan 12,478 calon wanita terbahagi kepada 37,259 aliran Sains Sosial dan 3,667 aliran Sains.

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan