KELULUSAN Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat melompat parti yang diluluska Parlimen hari ini mampu memberi ruang kepada proses pemulihan demokrasi.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abd Hamid berkata, kelulusan RUU yang mendapat sokongan melebihi suara dua pertiga anggota Dewan Rakyat itu juga mampu menjadi mekanisme meredakan suhu politik tanah air.
“MBM menganggap lulusnya enam perkara dalam Pindaan Perlembagaan Larangan Ahli Parlimen Melompat Parti adalah kemenangan demokrasi untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Hal yang demikian diharapkan dapat melindungi suara rakyat sebagai asas kepada negara demokrasi,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Mohd Izzat Afifi berkata, gejala lompat parti yang berlaku secara berleluasa sebelum ini adalah satu kesalahan moral.
Kata beliau, kelulusan Pindaan Perlembagaan itu secara tidak langsung telah mengabsahkan tindakan melompat parti sebagai satu perbuatan yang bercanggah dengan lunas Perlembagaan.
Beliau berkata, kelulusan pindaan Perlembagaan itu juga menzahirkan iltizam politik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke arah langkah penambahbaikan sistem pentadbiran dan politik Malaysia sejajar dengan
semangat Keluarga Malaysia.
“Ini boleh dilihat melalui rundingan dan muafakat blok kerajaan dan pembangkang dalam menyiapkan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Menimbang RUU Larangan Melompat Parti.
“MBM akan terus menyokong seluruh usaha ke arah transformasi politik dan pentadbiran yang dikemukakan melalui MoU kerajaan dan Pakatan Harapan sebagai satu ikhtiar mewujudkan kestabilan politik di Malaysia,” kata beliau. – Edisi 9