31 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

MBM sokong pelaksanaan semula GST tapi…

Mesti Baca

MAJLIS Belia Malaysia (MBM) menyokong hasrat kerajaan untuk melaksanakan semula sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana ia mampu membantu menampung pemberian subsidi bagi keperluan rakyat.

Naib Presiden MBM, Datuk Syed Osman Mohamed bagaimanapun mencadangkan agar jumlah yang ditetapkan hanya pada kadar 3 peratus berbanding 6 peratus ketika dilaksana pada 2015 sebelum dikembalikan kepada sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Pada masa yang sama, beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperbanyakkan lagi program subsidi bersasar antaranya menetapkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.85 seliter.

Menurutnya, kerajaan juga mengecualikan cukai jalan bagi semua jenis kenderaan 2000cc ke bawah serta mengurangkan harga tol dalam bandar dan Lebuh Raya PLUS.

Katanya, pemberian diskaun atau pengecualian pinjaman pendidikan seperti PTPTN kepada pelajar memperolehi CGPA 4.0 dan CGPA 3.5 ke atas manakala bawah 4.0 mendapat 50 peratus potongan pinjaman, 3.0 dan 3.5 ke atas mendapat 30 peratus potongan pinjaman juga hendaklah dilaksanakan.

“MBM percaya dengan adanya sistem percukaian GST, ia mampu menstabilkan ekonomi negara dan kerajaan juga boleh mengusahakan program rasionalisasi subsidi bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah serta menambah bantuan BPR dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu wawancara bersama Nikkei Asia minggu lalu dilapor berkata, tidak menolak mengembalikan GST bagi menangani inflasi dan kenaikan kos sara hidup rakyat.

GST yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2015 mencetuskan gelombang kemarahan rakyat menyebabkan parti itu tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sistem percukaian tersebut kemudian dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan dikembalikan kepada sistem SST pada 2018.

Advertisements

Syed Osman berkata, kadar GST 3 peratus ia adalah kadar terbaik ketika ini dan sebagai salah satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

“GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara dalam masa sama membantu kebajikan rakyat khususnya golongan belia.

“Sistem pencukaian ini juga mampu membantu belia dalam pelbagai perkara serta menampung pemberian subsidi bagi keperluan rakyat,” katanya.

Syed Osman berkata, GST mampu mengurangkan jurang pendapatan, menarik pelaburan dan mengukuhkan kekuatan fiskal kerajaan.

Katanya, kutipan hasil GST boleh dikembalikan kepada B40 dan M40 dalam bentuk bantuan tunai rakyat yang jauh lebih besar berbanding dengan nilai GST yang dibayar oleh rakyat.

“Dengan adanya GST, kerajaan dijangka akan mendapat hasil hampir RM20 bilion setahun berbanding sistem SST. Ia merupakan satu kesilapan kerana tiada negara di dunia yang menggunakan pakai sistem GST kepada SST melainkan negara ini,” katanya.

Syed Osman yang juga Pengerusi Biro Perindustrian, Ekonomi dan Keusahawanan MBM berkata, rakyat perlu berfikir dan sedar bahawa kerajaan tidak banyak pilihan pada masa ini di samping tanggapan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab mula memainkan sentimen politik sempit bagi meraih sokongan bagi mewujudkan persepsi negatif mengenai GST.

Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam meyakinkan rakyat tentang kelebihan dan kebaikan pelaksanaan GST. Sebagai rakyat, kita perlu membantu kerajaan dalam memastikan negara terus mampu berdaya saing, mengukuhkan ekonomi seterusnya kembali membantu rakyat.

“Justeru, MBM menyokong penuh hasrat kerajaan mengembalikan GST, dalam masa sama meminta kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan menggerakkan usaha mendidik dan menimbulkan kesedaran di kalangan rakyat tentang sudut positif sistem pengutipan cukai yang lebih telus ini seterusnya mampu mengawal harga barang,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan