28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 capai matlamat

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MESYUARAT Menteri Kuartet COVID-19 disifatkan berjaya mencapai matlamatnya dalam usaha membuka semula negara secara selamat dan berperingkat, termasuk kelonggaran dalam prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku pengerusi mesyuarat menjelaskan, di peringkat awal, kuartet memberi tumpuan kepada usaha pembukaan semula sektor pendidikan secara berperingkat dan selamat, seterusnya membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran kembali diadakan menerusi kaedah bersemuka di sekolah.

Katanya, ia diikuti dengan usaha merancakkan semula sektor ekonomi dan membuka semula secara berperingkat serta selamat pelbagai lagi sektor lain termasuk pelancongan, pekerjaan, industri dan pembuatan serta sektor sukan, sebelum pembukaan sempadan negeri dan negara.

“Ini juga rumit memandangkan ia melibatkan pergerakan keluar masuk negeri dan negara dalam skala yang besar. Namun, hasil usahasama semua pihak termasuk rakyat sendiri, sempadan negeri dapat dibuka pada Oktober tahun lalu selepas kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai 90 peratus.

“Sempadan negara juga dibuka secara berperingkat terutama menerusi skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dan pembukaan sepenuhnya sempadan negara juga dapat dilaksanakan pada 1 April lalu,” katanya dalam kenyataan.

Secara keseluruhan, katanya, negara kini memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik, 181 SOP yang diguna pakai sejak Mac 2020 kini hanya tinggal satu SOP asas dan sembilan garis panduan, semua sektor dibuka, setiap perayaan dibenarkan untuk disambut, pelitup muka juga sudah tidak diwajibkan di tempat terbuka, malah, daftar menggunakan MySejahtera sudah tidak lagi menjadi kewajipan.

“Situasi ini sekali gus merumuskan bahawa usaha-usaha yang dibuat oleh kuartet membolehkan kehidupan seharian rakyat kembali kepada situasi hampir normal sekali gus menepati matlamat awal penubuhan kuartet,” katanya.

Jelasnya, matlamat utama kerajaan di sebalik usaha ini adalah bagi membolehkan rakyat kembali dapat menjalani kehidupan seharian secara hampir normal serta belajar hidup bersama virus COVID-19.

“Melangkah ke hadapan, seperti dinyatakan beberapa kali sebelum ini, kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula sekatan besar-besaran.

“Justeru, diharapkan satu SOP dan sembilan garis panduan yang diguna pakai ketika ini diamalkan dengan sebaik mungkin. Kekal berdisiplin, jaga kebersihan diri dan terus pakai pelitup muka apabila berada di kawasan tertutup demi keselamatan diri dan ahli keluarga,” katanya.

Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 melabuhkan tirai semalam selepas 16 kali bersidang sejak kali pertama diadakan pada 14 September 2021.

Hishammuddin menzahirkan penghargaan kepada tiga lagi menteri kuartet, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa serta menteri-menteri yang terlibat, Majlis Keselamatan Negara dan semua 29 agensi serta pihak terlibat.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan