26.1 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Kartel daging dah berlalu, kini kartel ayam pula tunjuk “lagak”

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BELUM hilang rasa geram dan tertipu pengguna terhadap isu kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal untuk dijual di pasaran negara ini kira-kira dua tahun lalu, kini kartel ayam di negara sendiri pula mula menunjukkan “lagaknya”.

Bagi penggemar ayam, tentunya berita kekurangan bekalan ayam di pasaran termasuk keputusan bekalan ayam mentah di pasar awam akan menjadi mimpi ngeri.

Lebih ngeri lagi apabila peniaga makanan dari hanya beroperasi di rumah hinggalah ke katering, pasti tidak akan mampu memenuhi permintaan perlanggan dan terjadilah tawar menawar harga yang tidak akan memberikan rasa puas hati kepada pengguna.

Mengikut laporan harga terkini peringkat runcit komoditi harian setakat hari ini oleh laman web rasmi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), harga ayam standard di Kota Bharu, Kelantan mampu mencapai harga tertinggi RM12 bagi sekilogram dengan harga purata jualan di kawasan berkenaan sekitar RM11.50.

Namun, harga ayam standart terendah yang boleh ditawarkan ialah sekitar RM8.90 sekilogram hanya membabitkan beberapa lokasi antaranya di Kuala Lumpur, Klang (Selangor) dan Perlis.

Jika diikutkan istilah ‘kartel’ melalui Pusat Rujukan Rujukan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah persatuan yang dibentuk dalam kalangan pengeluar dalam industri tertentu untuk menguasai pasaran bagi produk mereka.

Maka tidak hairanlah, persatuan penternak ayam di pelbagai negeri mula mengeluarkan kenyataan masing-masing menyatakan operasi terpaksa ditutup buat beberapa hari akibat ayam kurang berat, mati sebab suhu dan sebagainya.

Malah, buat pertama kalinya pengguna melihat premis menjual ayam di pasar terpaksa menutup awal tempahan bukan di musim perayaan disebabkan tiada stok ayam standart yang boleh ditawarkan kepada pengguna.

Memetik laporan media, semua tujuh gerai menjual ayam segar di Pasar Besar Jerantut, Pahang, ditutup kepada pembeli berikutan tidak mendapat bekalan ayam daripada pembekal ayam, sejak Selasa lalu.

Peniaga ayam di Pasar Besar Jerantut mendakwa mereka tidak memperoleh bekalan ayam hidup sejak Selasa lalu kerana pembekal memaklumkan stok ayam tidak mencukupi.

Advertisements

Malah, Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS) mengesahkan tiada pengeluaran ayam dari ladang pada hari ini.

Pengerusi PPANS, Idrus Zainal mendakwa permasalahan tersebut disebabkan isu bekalan berpunca daripada ayam sakit seperti dilaporkan Sinar Harian.

Sementara itu, di Melaka pula, penutupan sebuah kilang pengeluar ayam di Jasin selama dua hari
disebabkan kilang tersebut menghadapi masalah tumbesaran ayam hidup yang tidak mencapai berat sepatutnya.

Perkara itu dikongsikan oleh Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar.

KPDNHEP menurutnya telah pergi ke kilang tersebut dan melihat fizikal ayam hidup yang diternak tidak cukup berat iaitu 1.1 kilogram (kg) dan kadar tersebut tidak sesuai untuk dijual.

Apa pun, 18 Mei lalu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kerajaan bersetuju untuk tidak mengenakan permit import (AP) bagi mengimport sebarang bahan makanan berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu katanya dicapai dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) akan mengumumkan butiran lanjut berhubung AP untuk import bahan makanan berkenaan.

Yang menjadi persoalan, apakah dengan segala huru hara hanya disebabkan ayam ini, adakah pengguna akan kekal mendapat hak mereka? Atau siapakah yang akan menang? Atau cukuplah sekadar pengguna merasai situasi menang-menang?

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan