25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Pencarum LTAT dibenar buat dua jenis pengeluaran

Pengeluaran bagi mengerjakan haji dan pembiayaan pendidikan masing-masing jumlah maksimum sebanyak RM10,000 dan RM3,200.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENCARUM Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dibenarkan untuk membuat dua jenis pengeluaran daripada wang caruman masing-masing iaitu bagi tujuan mengerjakan haji dan bayaran balik yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bagi pengeluaran bagi mengerjakan haji, jumlah maksimum pengeluaran ialah sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengeluaran tersebut boleh dilakukan dengan syarat, pencarum telah menerima surat pengesahan tawaran mengerjakan ibadat berkenaan dari Lembaga Tabung Haji, dan telah mencarum sekurang-kurangnya 15 tahun.

Selain itu, Hishammuddin berkata, pencarum juga boleh mengeluarkan jumlah maksimum RM3,200 untuk tujuan pembayaran balik yuran pendaftaran semester satu di universiti awam tempatan.

“Kedua-dua pengeluaran ini dibenarkan sekali sepanjang tempoh perkhidmatan, dan akan berkuat kuasa mulai 15 April 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata, langkah membenarkan pengeluaran wang caruman LTAT itu, merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pertahanan (Mindef), dan ATM sendiri untuk menjaga kebajikan setiap anggota, termasuk veteran dan ahli keluarga.

Antara perkara lain yang diumumkan ialah kenaikan Bayaran Persinggahan Pelabuhan Luar Negara kepada anak kapal TLDM mengikut penjadualan, daripada RM20 kepada RM50 sehari.

Advertisements

Selain itu, beliau berkata, inisiatif terbaharu Faedah Gantian Cuti Rehat (FGCR) yang diberikan kepada penjawat awam turut akan dipanjangkan kepada anggota ATM.

“Dengan pengesahan ini, anggota ATM yang berumur 45 tahun yang bakal menamatkan perkhidmatan bukan sahaja bakal menikmati FGCR yang telah dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari, malah, anggota terbabit juga dibenarkan menikmati bayaran pendahuluan yang bersamaan dengan 80 hari cuti tanpa perlu menunggu sehingga benar-benar tamat perkhidmatan. Manakala bakinya akan dibayar selepas tamat perkhidmatan,” katanya lagi.

Sementara itu, menyentuh mengenai penambahbaikan aspek pendidikan anak-anak ATM, Hishammuddin berkata, Mindef kini ada perancangan baharu dalam usaha menambah baik aspek pendidikan anak-anak warga ATM di seluruh negara secara holistik.

Ini, jelasnya, ia merangkumi penambahbaikan infrastruktur di 38 buah sekolah dalam kem ATM, pusat-pusat tuisyen, biasiswa dan beberapa lagi inisiatif.

“InsyaAllah, sebaik sahaja perinciannya dimuktamadkan, saya sendiri akan umumkan dan segera dilaksanakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut menzahirkan penghargaan kepada 77 penyumbang yang menghulurkan sumbangan hari raya berbentuk kewangan dan barangan kepada anggota ATM yang bertugas, khususnya sewaktu Hari Raya Aidilfitri kelak.

Beliau berkata, jumlah sumbangan barangan dan kewangan yang terkumpul daripada penyumbang ini ialah sebanyak RM1,881,180, lebih besar berbanding tahun lalu.

“Dalam masa yang sama, saya juga ingin memaklumkan, tahun ini sebanyak 15,000 beg hari raya akan diagihkan kepada anggota yang bertugas di perbatasan sama ada di Semenanjung, Sabah, Sarawak, dan juga di luar negara di bawah misi Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta di Mindanao, Selatan Filipina di bawah International Monitoring Team (IMT).

“Insya-Allah, kita akan pastikan, beg hari raya dan sumbangan hari raya yang diterima kali ini akan dapat dihantar ke destinasi sama ada dalam mahupun luar negara sebelum Hari Raya Aidilfitri pada awal Mei ini,” katanya lagi.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan