28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pakej haji naik setiap tahun, kaji semula keputusan PH, PN – Najib

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru Kerajaan untuk mengkaji semula keputusan kerajaan PH dan PN dahulu bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) tidak akan meniaga lagi tetapi hanya akan melabur dalam aset-aset simpanan tetap.

Ujar Najib, dasar yang digunakan berkenaan akan menghadkan jumlah pendapatan TH dan kadar Hibah setiap tahun.

Malah beliau menyuarakan kebimbangan sekiranya dasar tersebut tidak dikaji semula, maka harga pakej Haji kepada Jemaah akan terus naik pada tahun-tahun mendatang dan antara matlamat utama TH iaitu untuk memperkasakan ekonomi Ummah tidak akan tercapai.

“Kerajaan sebenarnya banyak kuasa untuk memberi peluang yang baik kepada TH untuk menjana lebih keuntungan. Sebagai contoh ialah pembelian tanah TRX oleh TH dari 1MDB.

“Biarpun ianya telah dijadikan propaganda menipu oleh PH masa itu kononnya TH terpaksa membayar harga yang tinggi bagi tanah tersebut untuk bail-out 1MDB tetapi hakikatnya ialah tanah tersebut sebenarnya dijual dengan harga lebih murah kepada TH.

“Akhirnya tanah yang dibeli dengan harga RM188 juta pada tahun 2015 telah dijual TH dengan harga lebih tinggi (sekitar RM400 juta) pada tahun 2019 zaman PH,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Najib berkata, memandangkan projek serta infrastruktur di TRX semakin siap dan semakin menarik, harga tanah serta potensi projek pembangunan atas tanah tersebut juga semakin tinggi.

Menurut beliau, jika tidak dijual pada tahun 2019, keuntungan yang mampu dijana sekiranya TH membangunkan projek atas tanah tersebut adalah jauh lebih tinggi.

“Namun potensi ini tidak lagi kesampaian sebab PH telah rosakkannya dengan propaganda menghasut dan menipu mereka.

“Saya pernah ramalkan pada permulaan tahun 2019 masa PH bahawa Hibah dan pendapatan Tabung Haji tidak akan tinggi lagi seperti masa BN pada tahun-tahun mendatang apabila PH serta CEO lantikan mereka mengeluarkan kenyataan bahawa tugas TH hanya untuk kerja mengendalikan jemaah Umrah menunaikan ibadah Haji kali pertama dan TH tidak perlu untuk berniaga atau melabur lagi.

Maka menurut beliau, pendapatan dan Hibah TH untuk tahun-tahun mendatang akan konsisten pada tahap 3 peratus setiap tahun disebabkan pulangan dari aset simpanan tetap cuma antara 4 peratus sehingga 5 peratus.

“Ditambah pula oleh kerugian TH sebanyak RM19.8 bilion yang disebabkan oleh propaganda memakan diri kerajaan PH dahulu hanya sebab mahu serang kerajaan BN sehingga TH perlu di “bail-out” kerajaan PH melalui syarikat milik Kementerian Kewangan dan terpaksa menjual aset-aset seperti TH Hotels.

“Akibatnya, TH tidak mampu lagi menampung penuh subsidi bagi kos Haji dan terpaksa menaikkan harga kepada jemaah bagi tahun ini – jauh berbeza dengan sepanjang tempoh saya PM di mana kos haji pada jemaah tidak pernah naik,” katanya.

Terdahulu, TH memperkenalkan dua kategori kadar bayaran bagi jemaah haji muassasah yang pertama kali mengerjakan haji bermula tahun ini.

Bayaran sebanyak RM10,980 perlu dibayar oleh jemaah daripada golongan B40 iaitu peningkatan sebanyak RM1,000, manakala bayaran sebanyak RM12,980 dikenakan bagi jemaah bukan B40 iaitu melibatkan peningkatan sebanyak RM3,000.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, kadar bayaran tersebut adalah berikutan kos haji bagi tahun ini meningkat kepada RM25,540 seorang berbanding RM22,900 pada 2019.

Menurutnya, kenaikan tersebut tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan beberapa kos termasuk inflasi, pelbagai cukai terutamanya Cukai Nilai Tambah (VAT) dan caj visa Haji serta perlindungan insuran untuk jangkitan Covid-19 yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi.

Cukai VAT Arab Saudi telah dinaikkan daripada 5 peratus kepada 15 peratus dan ini adalah faktor utama kepada kenaikan kos haji kerana jemaah menerima pelbagai perkhidmatan di Tanah Suci.

-EDISI9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan