32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Cubaan kali pertama, bawa masuk PATI tidak berhasil

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CUBAAN kali pertama, lelaki yang menghampiri usia warga emas bersengkokol dengan sindiket pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak berhasil apabila diberkas sepasukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Banting – Sepang, Morib, Kuala Langat, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, selain lelaki itu, pihaknya turut menahan dua warga asing berusia 42 dan 52 tahun.

Katanya, siasatan mendapati tiga suspek yang baharu pertama kali terlibat dengan sindiket ini berperanan sebagai tekong darat atau transporter bagi menghantar PATI ke lokasi yang ditetapkan dengan upah RM50 bagi setiap PATI yang dibawa.

“Suspek juga dipercayai melakukan kerja (transporter) itu secara sambilan.

“Operasi bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ini kemudian berjaya menemui 13 PATI berusia 25 hingga 53 terdiri daripada enam lelaki dan tujuh wanita yang sedang menyorok di kawasan semak di lokasi terbabit,” katanya, lapor Sinar Harian.

Katanya, kesemua PATI itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan didapati masuk ke negara ini melalui jalan laut.

Menurutnya, soal siasat PATI terbabit membayar RM3,000 hingga RM4,500 setiap seorang kepada ejen sindiket untuk masuk ke Malaysia.

“PATI ini kemudian akan diambil oleh tekong darat terbabit dan dipercayai akan dihantar ke Desa Petaling, Kuala Lumpur,” katanya.

Pihaknya telah merampas dua buah kenderaan dan tiga telefon bimbit untuk tindakan lanjut.

Tegasnya, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963.

Justeru, masyarakat diseru agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan