24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

PM seru badan korporat bantu jayakan program SULUNG

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengajak dan menyeru badan-badan korporat untuk menghulurkan sumbangan bagi membantu menjayakan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG).

Menurut Perdana Menteri, inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu sebagai usaha untuk membantu para pelajar golongan B40 untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

Beliau berkata, program itu dianggap unik kerana pelajar terbabit bukan sahaja akan dibantu diberikan laluan khusus kemasukan ke universiti awam tetapi turut ditawarkan biasiswa, asrama, serta diberikan mentoring sehinggalah mereka berjaya mendapat pekerjaan.

Usaha tersebut, kata Ismail Sabri, selari dengan harapan beliau agar tahap pendidikan yang baik kelak dapat membawa para pelajar berkenaan keluar daripada kitaran B40, seterusnya dapat berdikari selepas tamat pengajian.

“Kejayaan mereka ini nanti bukan sahaja memberikan motivasi kepada keluarga, tetapi juga kepada komuniti setempat.

“Justeru, saya mengambil kesempatan ini mengajak dan menyeru badan-badan korporat di luar sana untuk sama-sama menghulurkan sumbangan bagi membantu menjayakan program SULUNG ini,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival KPT Keluarga Malaysia di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor hari ini.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Ismail Sabri berkata, pendidikan merupakan agenda yang penting bagi mengubah sesuatu keluarga, kaum dan sesuatu individu dan atas sebab itulah hal itu menjadi agenda utama kerajaan sejak merdeka.

Beliau berkata, pendidikan juga boleh membantu golongan B40, M40 dan juga masyarakat luar bandar.

Advertisements

“Dengan pendidikan, tanpa mengira latar belakang, anak penoreh getah pun boleh menjadi seorang perdana menteri dan anak tok penghulu boleh jadi menteri besar, berjaya hasil dari dasar yang jelas dari kerajaan untuk tingkatkan taraf pendidikan anak-anak bangsa,” katanya.

Perdana Menteri berkata, penekanan kepada aspek pendidikan, termasuklah pendidikan tinggi perlu menjadi keutamaan, selari dengan nilai Keluarga Malaysia, iaitu menerapkan budaya ilmu dalam masyarakat dan keluarga.

Selain menyediakan fasiliti pendidikan tinggi seperti universiti, politeknik dan kolej komuniti, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga sedaya upaya memastikan pelajar-pelajar dapat mengikuti pengajian mereka dengan lebih selesa.

Katanya, ini dapat dilihat daripada pelbagai bantuan yang diberikan dan diterjemahkan seperti bantuan kewangan, bantuan pelan data dan peranti, pengurangan yuran, bantuan makanan memastikan mereka mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Jelas Perdana Menteri, ini termasuk pelbagai program peningkatan kerjaya seperti PENJANA KPT-CAP, PENJANA KPT-PACE, dan GetHired@KPT.

“KPT turut bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO melaksanakan program MYFutureJobs.

“Apa yang pasti, program-program ini adalah berbentuk touch point dan bertujuan untuk menyantuni keperluan denyut nadi rakyat,” kata Ismail Sabri.

Sebagai contohnya, kata beliau, program MYFutureJobs telah menawarkan 63,990 jawatan kosong di negeri Johor dan sepanjang karnival tersebut, lebih 3,000 kekosongan jawatan ditawarkan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan