28.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Trend ‘unboxing isteri’ bawa keruntuhan rumah tangga

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TREND unboxing isteri atau membuka aib pasangan di media sosial boleh membawa kepada keruntuhan institusi keluarga.

Demikian pandangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata, trend berkenaan boleh membawa keruntuhan institusi keluarga apabila bakal ibu bapa sebagai tonggak institusi ini daripada awal lagi sudah tidak mengikut landasan nilai yang betul, apatah lagi memupuk nilai moral dalam kalangan anak.

“Masyarakat hari ini hidup di zaman bercampur-baur antara perkara yang halal dan haram.

“Hal ini bukan perkara yang pelik melihat kepada bagaimana media sosial dioptimumkan sepenuhnya untuk mengumpul kekayaan melalui populariti dan ramainya jumlah follower (pengikut).

“Sedikit sebanyak tempias ini turut menjejaskan nilai-nilai dalam sebuah institusi keluarga Islam.

Unboxing isteri, trend negatif yang semakin menjadi ikutan. – Gambar hiasan/Media sosial

“Pasangan suami isteri tidak lagi menghiraukan maruah, sehingga sanggup mendedahkan aib pasangan demi sebuah content (kandungan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Unboxing isteri merujuk tindakan suami membuka aksesori pakaian pengantin isterinya sejurus selepas mereka selesai diijabkabulkan atau disandingkan yang dirakam dan dikongsi menerusi media sosial.

Advertisements

Marzuk berkata, memandang berat peranan keluarga sebagai sebuah institusi pencorak masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil inisiatif memperkenalkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) Tahun 2019–2025.

Beliau berkata, pelan itu diperkenalkan bertujuan untuk menangani gejala sosial dalam kalangan orang Islam di negara ini.

“Antara langkah yang diperkenalkan pelan itu adalah penetapan agar setiap agensi yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mestilah memanfaatkan dan mengoptimumkan penggunaan media massa serta media sosial bagi mempromosikan nilai murni dalam institusi kekeluargaan Islam.

“Perancangan di pihak kerajaan ini juga sangat memerlukan kepada kerjasama yang holistik daripada semua lapisan masyarakat bagi membendung gejala sosial yang melanda umat Islam pada hari ini.

“Justeru, selain daripada menjelaskan hukum Islam yang melarang trend unboxing isteri ini, saya menyeru agar semua pihak yang berperanan turut mengambil tindakan proaktif dengan mempromosi nilai keluarga Islam terutamanya di saluran media baharu yang ada,” katanya.

Baru-baru ini, tular di aplikasi TikTok mengenai trend unboxing dalam kalangan pasangan pengantin baharu.

Menerusi video yang tular, kelihatan pengantin lelaki membantu membukakan tudung pengantin perempuan dengan menanggalkan setiap aksesori yang terdapat pada bahagian kepala isteri mereka.

Dalam video itu, wanita terbabit masih memakai busana pengantin dan ia dirakam sendiri olehnya (pengantin perempuan) yang duduk di hadapan cermin.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Piala Asia B23: Pemain muda balik tangan kosong dari Qatar

DUA minggu berkampung di Doha, Qatar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sehingga korbankan hari raya Aidilfitri bersama keluarga ...

Lagi Artikel Berkaitan