28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

ATM utamakan usaha selamatkan mangsa banjir – Panglima

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) meletakkan keutamaan untuk menyelamatkan mangsa banjir dan menyarankan agar semua pihak menumpukan ke arah usaha berkenaan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang berkata, langkah berkenaan bagi memastikan sebarang usaha melibatkan pengurusan bencana banjir dapat dikoordinasikan secara tersusun dan berkesan.

“Ini bukan masa untuk mana-mana pihak meletakkan kesalahan sehingga boleh mengganggu dan menjejaskan sebarang usaha menyelamat serta memindahkan mereka yang terkesan akibat bencana ini.

“Apa yang penting di sini adalah kerjasama padu antara satu sama lain dengan meletakkan kepentingan keselamatan mangsa sebagai keutamaan yang perlu didahulukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Affendi juga menegaskan sebarang usaha yang dilaksanakan adalah berdasarkan konsep Whole of Government Approach bagi memastikan setiap agensi terlibat yang dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dapat digembleng secara bersama dan berkesan.

Menurutnya, sebarang kekurangan dalam aspek pengurusan banjir ini adalah tugas bersama setiap agensi untuk mencari jalan penyelesaian dalam menambah baik operasi yang dilaksanakan dan di masa-masa akan datang.

“Adalah ditegaskan bahawa ATM sentiasa komited melaksanakan tugas sekundernya terutama membantu pihak berkuasa awam yang dikoordinasikan NADMA dalam menyelamatkan mangsa-mangsa yang terkesan akibat bencana banjir terutama usaha memindahkan mereka ke kawasan selamat.

“Pada masa yang sama, mangsa-mangsa banjir yang terlibat juga diharapkan dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan demi kelancaran operasi yang dilaksanakan serta kesejahteraan dan keselamatan semua,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan