27.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

KPLB bantu lancarkan program vaksinasi bergerak di Sabah

Selain Papar, program juga akan meliputi kawasan Kinabatangan, Beaufort dan Tawau dengan sasaran 7,000 penduduk akan divaksin.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BAGI mempercepatkan proses vaksinasi masyarakat luar bandar, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melaksanakan Operasi Vaksin Penilaian Pantas atau Rapid Assessment Vaccination Operation (RAVO) di pedalaman Sabah.

Program di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan anak syarikatnya, MARA Liner Sdn Bhd, menjalin kerjasama dengan Pusat Kesihatan Daerah Papar, bergerak dari rumah ke rumah penduduk.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pelaksanaan program vaksinasi secara mobil itu adalah bagi memudahkan urusan logistik masyarakat tempatan untuk menerima vaksin.

“Keprihatinan KPLB dan MARA ini merupakan komitmen kementerian dan agensi kita dalam mendokong Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi membolehkan semua masyarakat di luar bandar khususnya hari ini di DUN Pantai Manis untuk menerima suntikan vaksin sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas simbolik pelancaran Pasukan Bergerak Vaksinasi KPLB/MARA/PKD Wheel RAVO dan lawatan ke Pusat Vaksinasi Papar bagi meninjau sendiri proses pemberian suntikan vaksin kepada masyarakat luar bandar di daerah itu hari ini.

Jelas Mahdzir, program RAVO melibatkan 21 buah perkampungan di Papar meliputi 1,500 orang masyarakat luar bandar yang masih belum menerima suntikan vaksin.

Selain Papar, program juga akan meliputi kawasan Kinabatangan, Beaufort dan Tawau dengan sasaran 7,000 penduduk akan divaksin.

Enam buah bas MARA Liner diubah suai menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan sembilan buah kaunter vaksinasi termasuk untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Proses suntikan akan dilaksanakan selama satu minggu bermula 1 hingga 7 Disember 2021.

Ia akan menggunakan tujuh unit kenderaan pacuan empat roda dan satu unit van sebagai kemudahan pengangkutan.

Dalam lawatan itu, Mahdzir turut menyampaikan sumbangan pelitup muka, panel pelindung muka, cecair sanitasi tangan dan lima buah kerusi roda bagi kegunaan penerima vaksin di pusat vaksinasi PKD Pengalat Besar Papar.

Turut disampaikan, bantuan kemudahan lain kepada pasukan petugas PKD dan sukarelawan kesihatan.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan