25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Mampukah Pas pertahan momentum PRU-14 di Kedah?

Pas menjelang PRU-15 (Bahagian 4)

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

KEJAYAAN Pas memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sedikit sebanyak mengubah lanskap politik negeri Kedah.

Keputusan PRU-14 bagi DUN negeri Kedah menunjukkan Pakatan Harapan (PH) telah berjaya memenangi 18 kerusi, Pas menang 15 kerusi dan Barisan Nasional (BN) menang tiga kerusi sahaja.

Sementara di peringkat Parlimen pula PH telah berjaya memenangi 10 kerusi, Pas menang tiga kerusi dan BN hanya menang dua kerusi. BN pula telah kehilangan lapan kerusi Parlimen di mana lima kerusi telah dirampas oleh PH dan tiga oleh parti Pas.

Keputusan PRU-14 menunjukkan bahawa Pas berjaya mengekalkan lima kerusi DUN iaitu Bukit Pinang, Tokai, Sungai Limau, Kuala Ketil dan Merbau Pulas.

Pas juga telah berjaya merampas 10 kerusi DUN dari BN iaitu Ayer Hitam, Kuala Nerang, Pedu, Bukit Lada, Belantek, Jeneri, Tanjong Dawai, Pantai Merdeka, Bayu dan Kupang.

Namun begitu, Pas juga telah kehilangan empat kerusi DUN iaitu Alor Mengkudu, Anak Bukit, Kubang Rotan dan Pengkalan Kundor kepada PH.

Sementara itu, BN telah kehilangan 18 kerusi DUN, di mana PH berjaya merampas lapan kerusi dan Pas merampas 10 kerusi.

PH berjaya mengekalkan enam kerusi DUN iaitu Derga, Kota Darulaman, Bukit Selambau, Bakar Arang, Sidam dan Lunas dan merampas lapan kerusi DUN daripada BN iaitu Ayer Hangat, Kuah, Kota Siputeh, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Suka Menanti, Gurun dan Kulim.

Apabila terjadi perubahan politik nasional menerusi ‘Langkah Sheraton‘ pada bulan Februari 2020, gabungan Pas (15), UMNO (dua), Bebas (dua) dan Perikatan Nasional (empat) telah berjaya membentuk kerajaan negeri Kedah yang baharu.

ADUN Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor dari Pas telah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah pada 17 Mei 2020.

Advertisements

Berdasarkan analisis PRU-14, adalah didapati bahawa momentum Pas pada ketika itu untuk menang kerusi DUN adalah amat tinggi.

Malah pertandingan tiga penjuru antara Pas, BN dan PH, parti itu dilihat lebih ke hadapan menjadi pilihan pengundi di Kedah.

Walaupun begitu, di peringkat Parlimen, pilihan pengundi adalah bercampur-campur. Malahan Pas telah kehilangan kawasan Parlimen Pokok Sena yang dimenangi pada PRU-13.

Namun demikian, Pas dapat pula merampas kerusi Parlimen Pendang, Jerai dan Sik daripada BN.

Senario ini harus diamati secara detail oleh Pas kerana sememangnya pertandingan tiga penjuru sedikit sebanyak telah berlaku undi silang di peringkat kerusi DUN dan Parlimen oleh pengundi atas pagar dan pengundi muda.

Apatah lagi pengundi bukan Melayu terutamanya pengundi Cina lebih memilih PH berbanding BN mahupun Pas.

Apakah kekuatan Pas sekali lagi bersendirian dalam PRU-15 akan dipilih oleh pengundi Kedah terutamanya pengundi atas pagar dan pengundi muda?

Adakah sekali lagi PAS akan dapat mengekalkan momentum PRU-14 sehingga dapat memenangi 15 kerusi DUN lagi di Kedah pada pilihan raya umum akan datang?

Perlu diingat bahawa pada PRU-12 ketika kekuatan Pas memuncak dan dapat menawan negeri Kedah sekalipun, Pas hanya menang 16 kerusi sahaja daripada 36 kerusi DUN.

Itupun sewaktu Pas bersama Pakatan Rakyat. Prestasi gabungan ini gagal dipertahankan pada PRU-13 di mana Pas hanya menang sembilan kerusi DUN sahaja dan kerajaan di negeri Kedah telah dirampas kembali oleh BN.

  • Dr Mohd Sadad Mahmud adalah Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA). Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.
Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan