34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

5 kes COVID-19 dikesan individu ke Langkawi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Lima kes positif COVID-19 telah dikesan ke atas individu yang masuk ke Pulau Langkawi hari ini, selepas saringan dijalankan melalui ujian RTK-Ag di bawah Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes positif yang dikesan merupakan kategori satu iaitu tidak bergejala dan telah diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari.

“Mereka yang dikesan itu selepas ujian RTK-Ag dijalankan melibatkan seramai 2,528 orang,”katanya menerusi kenyataan media di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, enam individu telah menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum ke lapangan terbang dan kesemua keputusan adalah negatif.

“Baki 12 kanak-kanak di bawah enam tahun tidak menjalani ujian COVID-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing,” katanya.

Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, seramai 2,546 orang telah disaring di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi melibatkan 1,250 orang disaring di empat pintu masuk lapangan terbang dan 1,296 orang melalui feri di Kuala Perlis.

Dr Noor Hisham berkata, seperti ditekankan sebelum ini, kejayaan Projek Rintis Langkawi sebagai gelembung pelancongan domestik pertama ini sangat penting dalam menentukan hala tuju pembukaan destinasi gelembung pelancongan domestik yang seterusnya.

“Projek rintis ini perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan ia berjalan lancar dan tidak menyebabkan berlakunya peningkatan kes serta kluster baharu.

“Atas sebab itu, kerajaan perlu memastikan setiap pelancong yang akan bercuti ke Pulau Langkawi telah menerima vaksinasi lengkap, bukan merupakan kes positif COVID -19 dan bukan kontak rapat kepada kes positif,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kejayaan untuk membawa negara keluar daripada kemelut pandemik ini tidak hanya boleh bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu didokongi usaha sama oleh semua pihak dan lapisan masyarakat.

“Oleh itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan masyarakat untuk terus mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri dalam apa keadaan sekalipun bagi menjaga keselamatan diri, keluarga dan masyarakat sekeliling,” katanya.-Edisi 9


Terkini

Keputusan peperiksaan STAM 2023 diumum 26 Mac ini – KPM

KEPUTUSAN Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023 akan dikeluarkan pada hari Selasa, 26 Mac ini. Kementerian Pendidikan...

Lagi Artikel Berkaitan