29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

MR D.I.Y sumbang PPE kepada 136 pusat kesihatan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KUALA LUMPUR–  MR D.I.Y. Group (M) Berhad (MR D.I.Y.) menyumbangkan peralatan perlindungan diri (PPE) bernilai lebih RM432,000 kepada 136 pusat perkhidmatan kesihatan dan kecemasan di seluruh negara.

Inisiatif tersebut dijalankan melalui usaha sama dengan Malaysia Relief Agency (MRA) dan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan peruncit tersebut untuk memberi sokongan kepada para petugas barisan hadapan serta mereka yang membantu menangani kesan pandemik COVID.

PPE tersebut disalurkan oleh rangkaian logistik milik MR D.I.Y kepada ibu pejabat polis daerah (IPD), klinik kesihatan dan pusat kuarantin terpilih di seluruh Semenanjung Malaysia.

MRA membantu mengenal pasti perkhidmatan yang paling memerlukan bantuan, dan akan turut mengatur pengedaran peralatan tersebut di Sabah dan Sarawak.

Program ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang ke-62 dilaksanakan oleh Kumpulan MR D.I.Y sejak pandemik ini bermula pada awal tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y. Group (M) Berhad, Adrian Ong berkata, pandemik ini sememangnya amat mencabar buat pakar-pakar penjagaan kesihatan dan telah memberi tekanan yang jauh melebihi hadnya kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara kita.

“Sebagai warga korporat yang prihatin terhadap tanggungjawab sosial, kami ingin membantu rakyat dan negara melalui usaha-usaha yang bermakna, dan salah satu cara kami untuk melakukannya dengan efektif adalah dengan memanfaatkan hubungan perniagaan dengan para pengilang global dan sistem logistik kami bagi memastikan bekalan yang mustahak dapat disalurkan kepada golongan yang paling memerlukannya.

“Saya amat berbangga dengan pasukan-pasukan logistik dan operasi kami yang telah mengedarkan barangan keperluan tersebut dengan pantas kepada 136 organisasi di seluruh Malaysia.

Advertisements

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada MRA yang telah bekerjasama dengan pasukan kami untuk mengenal pasti penerima yang benar-benar memerlukan dan membantu pengedarannya di Sabah dan Sarawak,”katanya menerusi kenyataan media di sini.

Pada masa sama, beliau memberitahu, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu, MR D.I.Y. telah melancarkan inisiatif Stay Safe, Malaysia yang bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia melalui usaha-usaha yang bermakna sepanjang pandemik ini.

“Program tersebut telah merangkumi pelbagai inisiatif berbeza termasuklah membekalkan PPE kepada para petugas barisan hadapan, membuat penghantaran melalui udara untuk kelengkapan kecemasan ke Sabah dan membekalkan penghadang perlindungan ke kaunter balai polis.

“Selain itu, turut mendermakan tangki oksigen kepada komuniti yang memerlukan, sehinggalah menyumbangkan pek bantuan makanan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan,”katanya.

Dalam tempoh satu tahun setengah ini, MR D.I.Y. telah memanfaatkan hubungannya dengan para pengilang tempatan dan global, rakan kongsi logistik antarabangsa, dan rangkaian penghantaran seluruh negara miliknya.

Ini bagi memastikan bekalan barangan keperluan yang amat mustahak seperti PPE, pelitup muka, pelindung muka, apron pakai buang dan pensanitasi tangan disalurkan kepada para petugas barisan hadapan untuk penjagaan kesihatan, badan kerajaan, organisasi bukan kerajaan (NGO), dan komuniti yang terjejas di seluruh negara.

Selain itu, ia juga telah menggiatkan usaha menyokong komuniti yang memerlukan bantuan termasuk mereka yang ditimpa bencana bukan berkaitan COVID seperti banjir dan bencana alam lain. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan