27.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 1, 2023

PGA rampas keratan ayam, makanan sejuk beku diseludup

Mesti Baca

BATALION 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kelantan hari ini merampas keratan ayam sejuk beku dan pelbagai makanan sejuk beku bernilai RM85,950 hasil pemeriksaan ke atas dua lori yang ditinggalkan di dalam ladang kelapa sawit di Lubok Setol, Pasir Mas.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Supt Nor Azizan Yusof berkata, kesemua barangan itu disyaki diseludup masuk melalui pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau berkata, terdahulu anggotanya yang sedang membuat intipan berdekatan sebuah pangkalan haram di Lubok Setol ternampak beberapa lelaki sedang memunggah kotak dan plastik ke dalam dua lori, kira-kira 2 pagi tadi.

Menyedari kehadiran anggota PGA, kesemua lelaki terbabit melarikan diri ke dalam hutan manakala pemandu kedua-dua lori telah memecut keluar daripada kawasan berkenaan.

“Ekoran itu, PGA telah menggerakkan operasi dengan bantuan daripada anggota cawangan lain bagi mengesan lori itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Azizan berkata, kedua-dua lori itu kemudian berjaya dikesan dalam keadaan tidak berkunci dan dipenuhi kotak dan plastik berisi keratan ayam sejuk beku dan produk makanan sejuk beku di kawasan ladang kelapa sawit di Lubok Setol, pada kira-kira 3.30 pagi.

Baca juga:   Pemergian Koperal Baharuddin satu kehilangan besar kepada negara - PM

“Pemeriksaan menemukan 2,358 paket keratan ayam sejuk beku bernilai RM58,950 dan 900 paket pelbagai jenis produk makanan sejuk beku bernilai RM27,000.

“Kita (PGA) percaya kesemua barangan ini untuk pasaran tempatan di sini khususnya di Kota Bharu kerana mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Baca juga:   Manifesto PRU15 BN diumumkan esok - Ahmad Zahid

Nor Azizan berkata, jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM235,950 termasuk dua lori bernilai RM150,000 itu.

Beliau berkata satu laporan polis mengenai kes itu telah dibuat di Balai Polis Lubok Setol dan kesemua hasil rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia untuk tindakan lanjut.

Wartawan

Terkini

DBKL gempur pusat pelacuran operasi bulan Ramadan

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggempur tujuh pusat pelacuran yang beroperasi pada bulan Ramadan di sekitar Jalan Petaling, Kuala...

Lagi Artikel Berkaitan