29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

KKM mohon dana tambahan RM1.14 bilion perangi COVID-19

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan telah memohon peruntukan tambahan RM1.14 bilion bagi memperkasakan lagi usaha memerangi COVID-19 di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, permohonan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan pada 7 Julai lalu.

Menurut beliau, berdasarkan perkembangan semasa, terdapat keperluan untuk peruntukan tambahan.

“Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan telah memohon bajet tambahan sebanyak RM1.14 bilion daripada Kementerian Kewangan pada 7 Julai 2021 bagi perolehan tambahan untuk reagen, barangan guna habis, peralatan perlindungan peribadi (PPE), penyumberluaran pesakit ke hospital swasta, penyumberluaran ujian makmal dan sebagainya,” katanya.

Dr Adham berkata demikian ketika memberi penerangan mengenai Tindakan Menangani Pandemik COVID-19 dalam sidang khas Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau memberitahu, sebagai komitmen berterusan untuk membendung penularan pandemik COVID-19, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM7.13 bilion iaitu RM1 bilion pada 2020 dan RM6.13 bilion tahun ini untuk Kementerian Kesihatan melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan.

Advertisements

“Daripada jumlah RM7.13 bilion ini, sebanyak RM2.35 bilion disediakan bagi saringan dan rawatan pesakit COVID-19 manakala sebanyak RM4.78 bilion bagi tujuan perolehan vaksin COVID-19 serta barangan guna habis dan peralatan penyimpanan vaksin,” jelasnya.

Dr Adham turut menyuarakan keyakinan kerajaan bahawa Pelan Pemulihan Negara (PPN) merupakan satu langkah strategik dalam mengimbangi antara keperluan pengawalan penyakit dan kelangsungan hidup rakyat.

Menurut beliau, Malaysia telah melakukan yang terbaik dalam menghadapi situasi ini dan sentiasa memperbaiki keupayaan dan kesiapsiagaan sistem kesihatan negara dalam menangani pandemik COVID-19.

“Walaupun kerajaan pernah mempunyai pengalaman menangani wabak virus Nipah, SARS, MERs-COV dan H1N1, namun COVID-19 adalah satu pandemik yang sungguh dahsyat dan telah memberi kesan kepada sistem kesihatan serta ekonomi di seluruh dunia,” katanya.

Dr Adham seterusnya menyeru semua pihak agar tidak mempersia-siakan jasa dan pengorbanan para petugas barisan hadapan kesihatan yang telah berhempas pulas dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat.

“Ada antara mereka yang telah berbulan-bulan tidak berjumpa dengan ahli keluarga dan terpaksa berjauhan demi merawat dan menyelamatkan nyawa pesakit sehingga ada antara mereka sendiri yang telah dijangkiti,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan