CYBERJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengenakan kompaun ke atas 81 peniaga yang didapati tidak mematuhi SOP dengan jumlah kompaun keseluruhan RM402,500.
Tindakan itu adalah hasil penguatkuasaan yang dijalankan dari 28 Jun hingga semalam dengan melibatkan pemeriksaan di 8,516 premis perniagaan.
Bahagian Penguat Kuasa kementerian itu dalam kenyataan berkata, sepanjang pemantauan pematuhan dilaksanakan, didapati pematuhan sektor perdagangan pengedaran boleh dikatakan berada pada tahap yang memuaskan.
‘’Sebanyak 98.55% premis patuh kepada SOP ditetapkan, manakala 0.10% premis sahaja yang dikenakan kompaun dan selebihnya iaitu 1.25% premis diberi nasihat dan amaran. Sebanyak 32 aduan diterima daripada orang awam dan kesemuanya telah disiasat sepanjang tempoh PKP 3.0 TLD,’’ kata bahagian tersebut.
Bahagian itu memaklumkan, bagi memastikan SOP PKP 3.0 Sektor Perdagangan Pengedaran semasa TLD ini dilaksanakan dengan efektif, seramai 2,262 orang penguat Kuasa KPDNHEP digerakkan di seluruh negara untuk memastikan pematuhan sepenuhnya SOP yang ditetapkan di semua premis perniagaan peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran.
‘’KPDNHEP sebagai salah satu agensi yang diberi kuasa untuk menguatkuasakan pematuhan SOP PKP dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak akan berkompromi dengan mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun ke atas mana-mana syarikat/individu yang melanggar pematuhan SOP yang berkuatkuasa,’’ kata kenyataan tersebut.
Berdasarkan statistik tindakan oleh bahagian itu, gagal mendaftar masuk menggunakan buku/aplikasi MySejahtera merupakan kesalahan paling banyak iaitu 27 kes.
Ia diikuti dengan kesalahan menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan (20 kes), gagal menyediakan penjarakan 1 meter (9 kes), gagal memakai pelitup muka (6 kes) dan gagal mematuhi waktu operasi (4 kes) manakala lain-lain kesalahan 15 kes.
Sementara itu, kedai runcit/mini mart merupakan premis paling banyak melakukan kesalahan iaitu dengan Sembilan kes, diikuti kedai makan/restoran (8 kes), hypermarket/supermarket, dobi dan hardware masing-masing 7 kes, pemborong (4 kes) manakala stesen minyak dan bengkel masing-masing tiga kes .