24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Pelaksanaan PdPR mesti ditambah baik segera

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh DR ANUAR AHMAD

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara. Dalam pengumuman tersebut, beliau antara lain menegaskan bahawa sektor sosial termasuk pendidikan hanya akan dibuka semula secara berperingkat di fasa tiga pada September 2021 nanti.

Oleh itu, ini membawa maksud untuk tiga bulan akan datang, amalan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan.

Setelah melalui PdPR 1.0 dan PdPR 2.0 dan kemudian PdPR 10 hari ditambah 25 hari, adalah didapati bahawa amalan PdPR perlu ditambah baik segera supaya keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai.

Setakat pengumuman Perdana Menteri bahawa sektor pendidikan akan terus ditutup sehingga September 2021, belum ada kenyataan dari pihak Kementerian Pendidikan tentang apakah langkah yang akan segera diambil untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan PdPR.

Terdapat tiga perkara utama dalam pelaksanaan PdPR yang perlu diberikan perhatian segera oleh Kementerian Pendidikan. Pertama, birokrasi sistem pelaporan PdPR oleh guru-guru kepada pihak jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan sekolah sepatutnya dipermudahkan.

Amalan sekarang, guru-guru diarahkan mengisi berbagai borang seperti borang penyertaan murid dalam PdPR dan pelaporan eviden PdPR. Semua pelaporan ini perlu dilakukan setiap hari oleh guru-guru bagi setiap mata pelajaran yang diajar.

Apakah kewajarannya? Bolehkah urusan ini dipermudahkan sedangkan kita semua tahu para guru sudah cukup terbeban dalam melaksanakan PdPR.

Ini hanya sebahagian beban amalan pelaksanaan PdPR yang semakin menjadi keluhan para guru. Tidakkah amalan ini boleh dipermudahkan? Misalnya disepadukan supaya hanya satu pelaporan sahaja untuk semua pihak berkaitan?

Kedua, salah satu isu utama PdPR dalam talian adalah ketidakhadiran murid-murid dalam sesi PdPR. Selain tidak mempunyai akses internet yang stabil, berdasarkan tinjauan penulis sendiri, ramai guru-guru mengakui sebahagian murid-murid sudah mengalami ‘keletihan PdPR’.

Advertisements

Mereka seperti sudah bosan dan tidak lagi bermotivasi untuk hadir dalam sesi PdPR bersama guru-guru mereka. Kehadiran ke sesi PdPR merosakkan dalam kalangan murid-murid yang berprestasi rendah.

Ini sepatutnya diberikan perhatian oleh Kementerian Pendidikan. Bagaimana untuk meningkatkan kembali motivasi pembelajaran pelajar? Misalnya dengan meningkatkan kemahiran pengajaran guru dalam PdPR dalam talian.

Kementerian Pendidikan juga boleh membangunkan program dan menyediakan bahan pembelajaran menggunakan video dan permainan pendidikan mengikut subjek untuk diedarkan pada guru-guru.

Malah jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah juga boleh melakukan program pertukaran guru PdPR di mana guru sekolah berbeza dijemput untuk mengajar secara dalam talian di sekolah yang lain.

Selain itu, pejabat pendidikan daerah juga boleh anjurkan pertandingan kuiz setiap mata pelajaran antara sekolah. Misalnya, anjurkan Pertandingan Kuiz Matematik Sekolah Rendah Peringkat Daerah secara dalam talian.

Ini boleh meningkatkan motivasi dan mengalakkan pembelajaran dalam talian menjadi lebih menarik.

Ketiga, PdPR dalam talian bukanlah pilihan terbaik walau diakui berkesan. Ramai murid-murid yang tidak mampu memiliki peranti dan masih ada yang tidak mempunyai akses kepada internet.

Oleh itu peranan Didik TV KPM perlu segera ditambah baik kandungan programnya. Manakala sekolah pula mengambil peranan mencetak bahan-bahan nota dan latihan tambahan untuk diedarkan pada murid-murid untuk menyokong pembelajaran mereka di rumah supaya terus berlaku di rumah

Penambahbaikan PdPR yang akan diteruskan sehingga September 2021 mesti dilakukan segera oleh Kementerian Pendidikan.

  • Penulis ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sosiologi Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pandangan Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan