26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Sedih tengok kesusahan Mohamad, Steven Sim belanja motosikal

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Nama Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong kembali menjadi buah mulut dalam kalangan netizen sejak malam tadi.

Semuanya gara-gara hantaran dalam laman Facebook miliknya yang mengisahkan tentang seorang penghantar makanan yang berbasikal kerana tidak mampu membeli motosikal.

Lebih menyedihkan, basikal yang digunakan oleh pemuda bernama Mohamad itu dipinjam daripada seorang rakannya.

Steven Sim yang bersimpati dengan keperitan yang dialami oleh lulusan diploma kejuruteraan dari sebuah politeknik itu membeli sebuah motosikal untuk Mohamad.

Tindakan pemimpin DAP itu membantu Mohamad seterusnya menerima pujian dan penghargaan daripada para netizen.

Sebelum ini, Steven Sim pernah membantu seorang ibu tunggal 10 anak yang tiba-tiba kehilangan tempat tinggal setelah diminta keluar dari rumah yang disewa mereka.

Berikut adalah catatan penuh Steven Sim dalam laman Facebook miliknya berhubung kisah Mohamad yang berasal dari Kelantan:

Hari ini Ramadan pertama.

Saya ditemukan dengan seorang rider food panda yang menginsafkan saya tentang nilai sebuah kehidupan.

Adik Mohamad mengayuh basikal meredah hujan dan panas demi sesuap nasi, walaupun ketika berpuasa.

Apabila saya bertanya kepadanya, mengapa dia berbasikal dan tidak menunggang motosikal seperti yang lain; dia jawab, dia tidak ada motosikal.

Basikal pun dipinjam daripada kawan, itupun seat dia dan banyak yang dah rosak. Tapi demi mencari rezeki, dia redha.

Sim
Mohamad sebelum ini menggunakan basikal untuk menghantar makanan. – Gambar: Facebook Steven Sim Choo Keong

Adik Mohamad berusia 22 tahun, merantau jauh dari Kelantan ke Pulau Pinang untuk bekerja. Keluarganya tidak kaya tapi mementingkan pendidikan. Ada 10 orang adik beradik. Ayahnya seorang guru agama. Dia sendiri lulusan diploma kejuruteraan Poli, dengan keputusan cemerlang.

Tapi setakat ini gajinya hanya RM500 sebulan, nak makan pun tak cukup, sewa bilik dia tak bayar, atas ehsan kawannya. Adik Mohamad tidak merungut, malah bersyukur dengan peluang yang ada. Sebaliknya lepas kerja setiap hari, dia pinjam basikal kawan untuk jadi rider food panda. Lepas kerja, rehat satu jam, pi kayuh sampai 11 malam. Dapat RM20-30 sehari, cukup makan beberapa kali. Ada kala, makan nasi lemak tiap-tiap hari sebab nak jimat duit.

Saya tengok kedua-dua belah tangannya pun sudah terbakar dek terik matahari.

Mata masuk habuk mendengar kisah adik Mohamad.

Walaupun saya hormat Tun Dr Mahathir, saya dari dulu lagi tak setuju dengan stereotype Tun yang kata Cina kaya, Melayu malas. Ramai Cina yang bergelut demi mencari makan, ramai anak Melayu seperti adik Mohamad yang rajin berusaha demi kehidupan.

Bila saya tanya adik Mohamad apa pertolongan yang diperlukan, dia segan nak jawab.

Beginilah, saya tak pandai hal agama, tapi kawan-kawan ajar saya bulan Ramadan ini banyak berkat. Saya mohon berkat Ramadan, saya belikan adik Mohamad sebiji motor.

Asalnya adik Mohamad macam tak percaya.

Sim
Mohamad terharu apabila menerima motosikal yang dibayar sepenuhnya oleh Steven Sim. – Gambar: Facebook Steven Sim Chee Keong

Tapi bila saya bawa ke kedai motor kat Bukit Mertajam, dia terus terharu. Kita beli Honda. Saya bayar cash. Kalau orang kecam saya guna peruntukan kerajaan beli motor, saya nak habaq saya tak ada peruntukan nak guna. Saya sekarang Ahli Parlimen pembangkang. Ini saya beli guna wang gaji saya sendiri. RM4,500 termasuk road tax, insurans, settle penuh, minyak isi full tank, adik Mohamad boleh terus bawa motor ini tak payah bimbang. Bolehlah adik naik motor ke kerja (sekarang dia tumpang motor kawan) dan jika jadi rider, tak payah susah susah kayuh basikal. Usah risau lagi hujung Ramadan macam mana nak balik Kelantan jumpa mak ayah – kuda sudah ada.

Kami juga pergi farmasi beli krim aloe vera dan krim sunblock. Saya peringat adik Mohamad agar wajib sapu krim setiap kali sebelum keluar buat food panda. Kita perlu jaga kesihatan diri. Kalau jatuh sakit, mak ayah juga yang akan bimbang.

Hari ini Ramadan pertama, saya belajar satu benda yang penting. Kita perlu banyak-banyak bersabar dalam menempuh cabaran hidup. Jangan putus asa walau susah macam mana sekalipun, dongipap kipidap! Setiap perkara ada hikmahnya, Tuhan tidak pernah mengabaikan kita. Adik Mohamad telah menginsafkan saya tentang perkara ini.

Iftar pertama tahun ini, saya buka puasa bersama adik Mohamad. Walaupun berjauhan dari keluarga dan terpaksa bekerja keras mencari rezeki, saya doakan Ramadan ini akan menjadi Ramadan yang lebih bermakna buat dirinya. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan