24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Kerajaan perluas tanaman kenaf integrasi di Perak

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kerajaan kini giat mempromosikan penanaman kenaf di seluruh negara dan Perak merupakan salah satu negeri yang berpotensi serta berminat untuk memperluaskan tanaman komoditi berkenaan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, program penanaman kenaf di Perak adalah bertujuan untuk mempromosikan komoditi itu sebagai sumber ekonomi dan pendapatan baharu kepada penduduk setempat dengan memberikan tumpuan kepada kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan.

Menurut beliau, bagi tahun ini, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menyasarkan tanaman kenaf di Perak seluas 80 hektar.

“LKTN telah mengenal pasti dua kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai projek perintis tanaman kenaf iaitu di Lambor, Perak Tengah dan Slim River, Muallim,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kenyataan itu diedarkan selepas majlis perasmian penanaman kenaf di Kampung Balun, Slim River semalam dan majlis penuaian kenaf di Kampung Lambor, Perak Tengah hari ini.

Mohd Khairuddin menambah, projek perintis tanaman kenaf di Slim River, Muallim dilaksanakan dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Pondok Muallim melibatkan kawasan kelompok seluas empat hektar.

“Potensi tanaman kenaf di sekitar kawasan projek perintis adalah seluas 20 hektar,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Ladang Rakyat Kenaf Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) Lambor adalah projek perintis usahasama antara PPPNP dengan LKTN di tanah milik perbadanan itu seluas 563 hektar.

Advertisements

“Dianggarkan tanaman kenaf seluas 140 hektar dapat ditanam dalam satu-satu masa. Namun sasaran awal ialah penanaman di Lambor seluas 60 hektar secara berperingkat.

“Ia melibatkan 30 pekebun kecil dengan hasil keseluruhan projek adalah kira-kira sebanyak RM240,000 semusim. Sehingga 15 April 2021, seluas lima hektar tanaman kenaf telah ditanam,” ujarnya.

Mohd Khairuddin memberitahu, konsep tanaman yang dijalankan adalah secara integrasi tanaman kelapa sawit dan kenaf.

Menurut beliau, kesesuaian umur pokok kelapa sawit adalah dua tahun ke bawah manakala nisbah keluasan tanaman kelapa sawit berbanding tanaman kenaf adalah 4:1.

“Pemilihan peserta bagi projek ini adalah dalam kalangan penduduk setempat bawah kategori penerima bantuan zakat (asnaf) kerajaan negeri Perak,” katanya.

Mohd Khairuddin menambah, kerjasama strategik antara LKTN dan PPPNP adalah untuk membangunkan industri kenaf di Perak di samping mempromosikan kenaf kepada masyarakat awam sebagai sumber ekonomi dan pendapatan boleh jana melalui industri kenaf.

Beliau berkata, pendekatan kerjasama itu juga merupakan salah satu strategi LKTN untuk memperkembangkan kawasan penanaman kenaf dan juga pembangunan industri hiliran kenaf ke seluruh Malaysia.

“Menjadi harapan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi supaya usaha memperluaskan tanaman kenaf ini sebagai sumber ekonomi dan pendapatan yang baharu kepada penduduk setempat berterusan dengan galakan dan sokongan oleh LKTN sebagai agensi yang bertanggungjawab ke atas pembangunan komoditi itu,” jelasnya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan