26.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Apa kedudukan sebenar hutang negara ketika ini?

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan tentang kedudukan hutang negara ketika ini.

Beliau membangkitkan soalan tersebut ekoran pengumuman Kementerian Kewangan tentang kejayaan kerajaan menerbitkan sukuk berdaulat iaitu Sukuk Kelestarian Malaysia bernilai AS$1.3 bilion.

“Apakah pinjaman dari pasaran tempatan berjumlah RM75 bilion dalam tempoh tak sampai empat bulan sahaja, tidak mencukupi sehingga terpaksa pula berhutang dari pasaran luar?

“Apakah penambahan hutang luar ini akan menyebabkan hutang negara melepasi had hutang 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Hutang Negara yang diluluskan di Parlimen?,” soalnya dalam hantaran Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi menambah, persoalan-persoalan itu memerlukan jawapan yang tuntas untuk rakyat kerana rakyat pastinya tidak rela kerajaan berperisaikan Ordinan Darurat untuk berbelanja sesuka hati tanpa kelulusan dan pemantauan Parlimen.

“Lebih membimbangkan juga jika Ordinan Darurat dijadikan alat untuk meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara bagi membolehkan kerajaan menjarah tabung simpanan masa depan negara yang berjumlah RM16.9 bilion.

“Sebab itulah amat wajar Parlimen dibuka bagi memastikan wujud pemantauan serta elemen semak dan imbang bagi memastikan kepentingan dan kebajikan rakyat terbela,” jelasnya.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan media hari ini berkata, kerajaan berjaya menetapkan harga Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam dolar Amerika Syarikat menerusi terbitan bertempoh matang 10 tahun dengan jumlah AS$800 juta.

Di samping itu, kerajaan juga menerbitkan sukuk bertempoh matang 30 tahun berjumlah AS$500 juta.

Advertisements

Kedua-dua tranche tersebut telah mendapat penarafan A3 oleh Moody’s Investors Service dan A- oleh S&P Global Ratings.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, keyakinan pelabur dicerminkan melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali.

Berikutan permintaan yang amat menggalakkan, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan saiz terbitan asal daripada AS$1.0 bilion kepada AS$1.3 bilion.

Terbitan Sukuk Kelestarian Malaysia dalam dolar Amerika merupakan sukuk pertama di dunia yang diterbitkan oleh sesebuah negara di mana terimaan terbitan akan disalurkan kepada projek sosial dan mesra alam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sukuk tersebut juga unik kerana aset sandarannya adalah aset lestari iaitu baucar yang mewakili hak perjalanan rangkaian pengangkutan awam LRT, Transit Aliran Massa (MRT) dan KL Monorail.

Ia merupakan terbitan berdaulat pertama yang menggunakan aset sandaran seumpama ini, lantas menjadi penanda aras baharu selain menyerlahkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran kewangan Islam global, serta memperkukuh kedudukan negara sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya berasa amat sukacita dan berbesar hati dengan keyakinan pelabur atas terbitan sulung Sukuk Kelestarian yang menggambarkan kepercayaan pelabur terhadap asas ekonomi Malaysia dan prospek pertumbuhan yang kukuh.

“Terbitan ini bukan sahaja mengungguli pelbagai aspek malah merupakan sebuah pengiktirafan yang tinggi ke atas keupayaan inovatif industri kewangan Islam Malaysia dalam menstruktur sukuk bagi memajukan polisi berpaksikan SDG untuk mencapai sasaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan