25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Polis nafi saman pemandu pakai cermin mata gelap

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Baru-baru ini tular rakaman audio dalam media sosial di mana seorang individu mendakwa disaman oleh polis dalam sekatan jalan raya kerana memakai cermin mata gelap atau Ray Ban.

Individu terbabit mengingatkan semua pemandu kereta atau lori bahawa perbuatan memakai cermin mata gelap tanpa masalah penglihatan boleh menyebabkan mereka disaman RM500 oleh polis.

Rakaman tersebut tular melalui aplikasi WhatsApp.

Walau bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dakwaan individu berkenaan adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

Timbalan Pengarah (I) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, tiada peruntukan undang-undang menyatakan memakai cermin mata gelap semasa memandu kenderaan adalah satu kesalahan.

“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik menggesa orang ramai untuk menghentikan sebarang penyebaran mesej tidak benar dan sentiasa memastikan kesahihan sesuatu mesej tersebut sebelum dimuat naik atau dikongsi dalam laman sosial dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Diharap semua pihak menghentikan penyebaran berita tidak benar kerana perbuatan yang tidak berfaedah itu boleh mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Tidak diketahui apa motif sebenar individu terbabit menyebarkan berita tidak benar, mungkin juga dia mahu mendapatkan perhatian.

Mereka yang disyaki menyebarkan berita tidak benar boleh didakwa di bawah undang-undang berkaitan seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948.

Perbuatan menyebarkan berita palsu melalui internet boleh menyebabkan individu terbabit dituduh di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan jalur lebar atau internet untuk penyebaran berita tidak benar atau menyebarkan berita yang boleh membahayakan keselamatan negara.

Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Elakkan daripada menyebarkan berita palsu tanpa disemak kesahihannya terlebih dahulu.

Kalau tak pasti jangan kongsi. – EDISI 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan