32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Tulisan Tommy Thomas berniat jahat – JALSOA

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) menyifatkan penulisan Tan Sri Tommy Thomas dalam buku berjudul My Story: Justice in The Wilderness adalah berniat jahat serta mencerminkan pemikirannya yang dangkal dan tidak bertamadun.

Jawatankuasa Eksekutif JALSOA menyelar tindakan bekas Peguam Negara itu yang menggelar pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai peguam kerajaan yang hanya menunggu gaji bulanan dan menantikan pencen selepas persaraan serta menjalankan kerja pentadbiran.

“JALSOA amat terkilan dan terjejas dengan kenyataan tersebut serta membantah tegas penulisannya yang menghina pegawai undang-undang secara keseluruhan,” jelas JALSOA dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, kandungan buku tersebut menceritakan kisah hidup dan perjalanan kerjaya beliau sebagai Peguam Negara sepanjang masa material selama 21 bulan yang disebutnya sebagai “the chief legal advisor to the Prime Minister and his administration”.

Jelas kenyataan tersebut, sebagai Peguam Negara, Tommy juga adalah ketua perkhidmatan kepada pegawai undang-undang dalam skim perkhidmatan kehakiman dan perundangan.

“Namun ujar peguam berpengalaman tersebut menunjukkan beliau telah salah arah dan salah tanggapan mengenai peranan pegawai undang-undang dalam skim perkhidmatan,” kata JALSOA

JALSOA berkata, pegawai undang-undang sama ada yang ditempatkan di AGC mahupun di mahkamah sentiasa menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka menurut peruntukan undang-undang tanpa mengira identiti Peguam Negara atau kerajaan yang memerintah.

Menurut jawatankuasa itu, cabaran mahupun dugaan dan tekanan dalam tugasan seorang pegawai undang-undang memberi implikasi bukan kepada mana-mana individu dan pelanggan tetapi memberi kesan kepada kepentingan negara dan kepentingan awam dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Kami tidak bekerja untuk mengejar populariti individu, malahan dasar kerahsiaan, integriti dan profesionalisme yang ditekankan di dalam perkhidmatan awam sentiasa melatari setiap tindakan dan tatakerja pegawai undang-undang,” jelasnya.

Sehubungan itu JALSOA menyatakan, Tommy tidak wajar mempertikaikan kemampuan, keupayaan dan keboIehan pegawai undang-undang di bawah seliaan beliau dalam tempoh yang singkat apatah lagi mencemuh dengan jelas dalam bukunya.

Kenyataan itu turut menjelaskan, pegawai undang-undang mempunyai kelayakan dan kelulusan akademik yang setaraf dengan peguam swasta, hadir mewakili Kerajaan dan berjuang dalam pertikaian pihak-pihak di mahkamah termasuk pertikaian dan rundingan antarabangsa demi kepentingan negara.

Tegas kenyataan tersebut, apa-apa perasaan tidak puas hati beliau semasa berurusan dengan pegawai undang-undang tidak wajar dicoretkan untuk tatapan umum kerana persepsi tersebut adalah ciptaannya sendiri ekoran kegagalan menerajui AGC serta memahami pentadbiran perkhidmatan awam.

JALSOA berpendirian Tommy sewajarnya menjaga kehormatan dan nama baik jawatan Peguam Negara yang pernah disandangnya serta institusi perkhidmatan perundangan dalam perkhidmatan awam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan