24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Jasa pemimpin, pegawai yang sentiasa dikenang

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh NORDIN ABDUL MALEK

BAGI masyarakat Kampung Gajah termasuklah saya, pasti tidak dapat melupakan dua tokoh penting yang banyak menyumbang jasa ketika menjadi pemimpin dan pentadbir di daerah kecil ini ketika era 1980an dan tahun 1990an.

Mereka ialah Tan Sri Ramli Ngah Talib (ADUN Kampung Gajah dan Menteri Besar Perak, 1984-1999) serta Abu Bakar Ismail (Ketua Penolong Pegawai Daerah Kampung Gajah, 1980an).

Ketika zaman dua tokoh inilah, Kampung Gajah mula membangun, sama ada dari sudut infastruktur, kegiatan ekonomi mahupun pembangunan modal insan.

Kampung Gajah yang dahulunya hanya dikenali dengan sejarah penentangan British oleh Dato’ Seri Maharajalela, akhirnya bertukar menjadi daerah yang membangun dengan jenama seperti Felcra Seberang Perak, Bandar Baru Kampung Gajah, Kompleks Sejarah Pasir Salak dan banyak lagi yang membuktikan hasil kerja dua tokoh ini.

Semua ikon tersebut masih tegak berdiri hingga ke hari ini walaupun Kompleks Sejarah Pasir Salak gagal dipertahankan oleh pemimpin selepas itu yang kini kelihatan bakal menyembah bumi.

Walaupun Ramli dan Abu Bakar berkhidmat di Kampung Gajah ketika saya masih kanak-kanak hingga remaja, namun ketika itu, saya sudah memahami dan melihat sendiri cara gerak kerja mereka dalam membangunkan masyarakat kerana keluarga saya adalah antara penggerak masyarakat yang turut bersama mereka di peringkat kampung.

Ramli Ngah Talib melawat benih Durian Paduka pada tahun 1985. Penulis sebelah arwah emak (paling kiri) ketika itu berusia 13 tahun.

Secara peribadi, saya pernah menyaksikan Ramli datang ke rumah keluarga kami di Mukim Pulau Tiga untuk melihat kegiatan ekonomi kami dan masyarakat tempatan. Ketika itu, Allahyarham bapa saya sedang berusaha membangunkan industri tanaman durian dan mini estet padi di kampung kami.

Ramli sentiasa menyokong gerak kerja kami seperti membeli benih durian terbaik iaitu Durian Paduka, memastikan penduduk kampung mendapat tanah untuk dijadikan dusun dan menyediakan kemudahan infrastruktur seperti jalan ladang dan sebagainya.

Manakala Abu Bakar pula akan bekerjasama dengan masyarakat tempatan untuk membangunkan kampung. Malah beliau sendiri tinggal di kuarters kerajaan yang berhampiran dengan Pejabat Tanah dan Daerah Kampung Gajah ketika itu.

Setiap pagi kalau saya hendak ke sekolah, saya pasti melihat Abu Bakar bersenam di hadapan rumahnya.

Oleh kerana ketika itu, proses transformasi pembangunan ekonomi kampung mula dilaksanakan, maka ramailah pegawai kerajaan daripada pelbagai agensi yang kena turun padang untuk menjayakannya.

Selalunya, rumah bapa sayalah yang menjadi tumpuan apatah lagi ketika musim durian kerana arwah abah adalah juara Pesta Durian Perak sebanyak dua kali (1984 dan 1995) melalui jenama Durian Paduka.

Abu Bakar Ismail ketika merasmikan mesin padipertama di Mukim Pulau Tiga pada tahun 1986.

Semasa kecil, saya pernah menaiki kereta Alfa Romeo milik Abu Bakar ketika beliau mengunjungi masyarakat kampung bagi mendengar keluhan dan permohonan mereka. Itulah kelebihan pegawai kerajaan dahulu seperti Abu Bakar yang tinggal bersama masyarakat di Kampung Gajah.

Advertisements

Selain Ramli dan Abu Bakar, saya juga amat mesra dengan penghulu yang lama berkhidmat di kampung saya iaitu Tok Penghulu dan imam bernama Mohamed Isa Mahamood (kini telah bersara dan menjadi imam masjid Kampung Gajah).

Mereka sentiasa memberikan semua perkhidmatan di kampung kerana mereka tinggal di kampung. Sehingga hari ini, Mohamed Isa umpama sebahagian adik beradik kami.

Apakah hari ini perkara ini masih berlaku? Kadangkala terlalu dilema untuk kita menjawab persolan ini.

Namun jawapannya terletak kepada wajah Kampung Gajah hari ini. Rasanya jika dicabut semua ikon zaman Ramli dan Abu Bakar yang ada hari ini, apakah tanda kebanggaan pembangunan baru di situ hari ini?

Mungkin ada tetapi gagasan dan nilainya kepada keterujaan kita tidaklah sehebat dulu.

Ketika saya bersama kerajaan menjayakan pelbagai misi pembangunan dan ekonomi di seluruh negara, saya dapat menyaksikan bagaimana kejayaan dan kegagalan visi serta misi kerajaan yang sangat bergantung kepada komitmen pemimpin politik dan penjawat awam itu sendiri.

Kejayaannya juga sangat bergantung kepada dedikasi yang tinggi. Ianya perlu bersifat melangkaui tugas biasa. Niat yang tulus dan kesungguhan yang tinggi. (beyond the ordinary jobs).

Sedikit pengalaman saya bergelumang bersama kerajaan di Melaka era Dato’ Seri Ali Rustam sebagai Ketua Menteri (kini Tun Ali), pemilihan ketua-ketua jabatan di Melaka amat teliti dan kalau boleh mengutamakan anak negeri Melaka sendiri.

Maka tidak hairanlah negerinya kecil tapi berstatus negeri maju. Para pegawai kerajaan akan terpacak di depan kita sepantas mungkin bila sesuatu isu berlaku.

Sebab itu, dalam melakarkan sejarah pembangunan kampung saya sendiri (bukunya sedang disiapkan oleh Universiti Malaya), saya memastikan tokoh-tokoh yang sebutkan tadi akan dipaparkan sebagai contoh teladan terbaik.

Mengenang jasa yang mendalam, saya masih berkomunikasi dengan Ramli. Begitu juga Abu Bakar yang saya ziarah dua tahun yang lalu seumpama sebuah keluarga dan saudara mara yang disayangi.

Pengajarannya ialah kerajaan boleh berslogan dengan macam-macam laungan dan doktrin tetapi hanya jiwa yang besar dan hati yang tulus akan menghasilkan khidmat yang cemerlang di mata hati masyarakat (bukan di mata hati bos semata-mata)

Tanpa memperkecilkan mana-mana pihak, semoga kepimpinan, khidmat bakti dan sumbangan semua pihak termasuk Ramli, Abu Bakar dan Mohamed Isa ketika berkhidmat dahulu akan dikenang selama-lamanya dan menjadi contoh teladan kepada pemimpin dan penjawat awam generasi baru.

• Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan