25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Suspek warga Indonesia disyaki hina lagu kebangsaan sendiri

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Suspek utama penyunting lirik lagu kebangsaan Indonesia yang tular di media sosial dan bertujuan menghina negara itu, disyaki warga republik berkenaan malah video tersebut bukan dibuat di Malaysia, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata maklumat itu diperoleh hasil soal siasat terhadap buruh warga Indonesia berusia 40-an di Sabah yang juga salah seorang suspek.

“Suspek ditahan di Sabah, Isnin lalu dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) menemui petunjuk baharu bahawa pelakunya dari negara seberang (Indonesia),” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Susulan itu, katanya, suspek disoal siasat dalam usaha mendapat pengakuannya terutama siapa penyunting video berkenaan.

Abdul Hamid berkata maklumat itu telah dikongsikan kepada Polisi Republik Indonesia (POLRI) kerana pihak berkuasa kedua-dua negara memandang serius perbuatan berkenaan.

Menurutnya, suspek utama akan diketahui dalam masa terdekat.

“Dalam kes terbaru ini, ada manusia durjana yang tidak bertanggungjawab dan bermotif jahat memperlekehkan lagu kebangsaan Indonesia Raya.

Parodi ini menimbulkan kemarahan rakyat Indonesia dan saya memberi jaminan bahawa tindakan drastik telah diambil oleh Jabatan Siasatan Jenayah iaitu menubuhkan pasukan khusus yang diterbangkan ke Sabah semalam untuk menjejaki pelaku ini,” katanya.

Abdul Hamid menegaskan sebarang perbuatan atau tindakan yang mengaibkan kehormatan sesebuah negara adalah kesalahan yang amat berat.

“Insya-Allah apabila tertangkapnya suspek, kita akan adili dan mendakwanya di mahkamah untuk menerima hukuman setimpalnya.

“Saya memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak meneruskan aktiviti terkutuk ini dan hentikan (perbuatan) yang menimbulkan perasaan sakit hati dalam kalangan rakyat negara jiran,” katanya.

Terdahulu, satu video dimuat naik dua minggu lepas oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komentar di laman YouTube My Asean, memaparkan lirik lagu kebangsaan Indonesia, Indonesia Raya, disunting bagi tujuan menghina Indonesia.

Video di ruang komen di YouTube berkenaan dipadamkan, namun itu sempat dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain dan ditularkan di platform media sosial lain di Indonesia, yang menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan