26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

Berhijrah ke ‘negeri asing’ demi penuhi impian

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

SIAPA sangka kerana terlalu kerap berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur ketika bertugas di Utusan Melayu (M) Berhad dahulu, akhirnya hatinya mula terpaut dengan keindahan negeri Terengganu.

Demi memenuhi impian memiliki sebuah rumah peranginan yang lengkap untuk seisi keluarga, bekas Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim, 54, nekad membeli sebidang tanah di Kampung Benting Lintang, Besut kira-kira 20 tahun lalu dengan harga RM17,000.

Berbekalkan wang simpanan kira-kira RM200,000, dia bersama isterinya, Meri Abul Mulup, sedikit demi sedikit memajukan tanah kira-kira suku ekar itu untuk didirikan sebuah chalet berasaskan kontena.

“Alhamdulillah, sejak tiga tahun lepas kami mula membina Sand Dune Villa. Inilah impian kami, untuk memiliki sebuah rumah peranginan walaupun terpaksa berhijrah di negeri asing (Terengganu) ini,” katanya dalam pertemuan dengan Edisi 9, baru-baru ini.

Wahid menabur bakti lebih 30 tahun bersama Utusan Melayu, syarikat penerbitan akhbar Utusan Malaysia itu sehingga syarikat tersebut gulung tikar pada Oktober 2019 lalu.

Walaupun pernah ditawarkan bekerja, Wahid Hashim kini lebih gembira dengan kehidupan baharunya. – Foto Edisi 9

Dia yang berasal dari Klang, Selangor sanggup meninggalkan hiruk-pikuk kota raya dan menetap di kawasan pesisir pantai itu yang mengadap Laut China Selatan dengan di hadapannya tersergam Pulau Perhentian dan Pulau Redang.

Wahid berkata, semasa awal pembukaan, Sand Dune Villa itu diuruskan oleh anak sulungnya, Danial, sebelum dia mengambil alih sendiri sejak tidak lagi bekerja di Utusan.

Katanya, biarpun telah ditawarkan beberapa jawatan oleh syarikat media lain sebelum ini, dia sudah tidak lagi berminat untuk ‘makan gaji’ sebaliknya selesa menguruskan chalet tersebut.

“Para tetamu Sand Dune Villa ini datang dari pelbagai pelosok negara terutama penduduk di negeri ini, selain ada juga tetamu dari luar negara.

Advertisements

“Kebanyakan mereka datang bersama keluarga dan mereka lebih gemar menghabiskan masa mandi-manda di kolam renang yang kami sediakan,” ceritanya dengan penuh semangat.

Sand Dune Villa yang dilengkapi empat bilik kontena dengan queen bed serta dua bilik kontena berukuran dorm ditawarkan pada harga antara RM100 sehingga RM180 satu malam.

Selain dilengkapi kolam renang, tetamu juga dapat menikmati pelbagai aktiviti yang disediakan termasuk menaiki bot menyelusuri sungai, memancing serta pelbagai aktiviti lain.

Wahid berkata, dia merancang untuk menambah lagi jumlah bilik penginapan yang ada memandangkan permintaan yang diperoleh semakin meningkat.

Keindahan Sand Dune Villa, Benting Lintang, Besut pada waktu malam. – Foto Edisi 9

Ketika ditanya sama ada timbul perasaan kesal selepas meninggalkan Klang dan berhijrah di negeri orang, Wahid berkata, tiada kekesalan di hatinya malah gembira dengan ‘kehidupan’ baharunya sekarang.

“Dari dahulu lagi saya memang suka datang Terengganu, menikmati keindahan negeri dan makanan di sini pun sedap-sedap.

“Lagipun abang saya juga ada di Pulau Perhentian, menguruskan pusat pelancongannya di sana,” katanya yang mengakui pada mulanya masyarakat setempat agak sukar menerima kehadirannya sekeluarga.

Katanya, sebagai ‘orang luar’ dia terpaksa mengharungi banyak cabaran namun mujur lama kelamaan kehadirannya di kampung tersebut semakin diterima masyarakat.

Maklumat lanjut mengenai penginapan di Sand Dune Villa boleh menghubungi Wahid di talian 019-3708196 atau lawat laman web di www.sanddunevilla.com. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

95,000 syarikat di bawah HRD Corp bakal latih pelajar IPMA

SEBANYAK 95,000 syarikat yang bernaung di bawah HRD Corporation (HRDC) sedia menanti para pelajar latihan dalam industri daripada institusi...

Lagi Artikel Berkaitan