29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Antara pilihan raya, darurat dan ancaman Covid-19

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

DALAM laman-laman sosial masih ada perbahasan berhubung wajar atau tidak, darurat dilaksanakan. Masing-masing ada hujah sendiri sama ada yang menyokong mahupun menentang.

Sudah pasti ia akan semakin rancak diperdebatkan apabila Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri Sarawak harus dilaksanakan.

Di Parlimen Batu Sapi berlaku kekosongan apabila penyandangnya Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober lalu manakala tempoh DUN Sarawak pula akan berakhir pada Jun ini.

Semalam, Borneo Post melaporkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencadangkan Januari atau Mac sebagai waktu terbaik untuk pilihan raya negeri itu diadakan.

Kata beliau, jika dipersetujui, DUN dapat dibubarkan seawal bulan ini dan pilihan raya negeri mesti diadakan dalam masa 60 hari selepas pembubaran.

Menurut Wan Junaidi, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg tidak mempunyai banyak pilihan selain mengadakan pilihan negeri walaupun dalam situasi wabak Covid-19 memandangkan tempoh DUN hampir berakhir iaitu Jun tahun depan.

Ada yang mempersoalkan wajarkah pilihan raya itu diadakan pada masa terdekat sedangkan ia boleh ditangguhkan sehingga Ogos seperti mana kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bagaimanapun jika DUN dibubarkan, mahu tidak mahu pilihan raya harus diadakan. Perlembagaan sudah menyatakan demikian dan tiada siapapun boleh menghalangnya kecuali darurat seperti mana ditegaskan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Penulis tidak boleh bayangkan bagaimana bentuk SOP yang harus disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan pelaksanaan kedua-dua pilihan raya itu tidak mewujudkan ‘gelombang keempat’ serangan pandemik Covid-19.

Meneliti pandangan dalam laman sosial dan ulasan dalam media ternyata ramai yang bimbang dengan situasi tersebut.

KKM melalui Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mencadangkan tiada sebarang pilihan raya pada masa ini berikutan kes penularan Covid-19 yang boleh merisikokan rakyat.

Advertisements

Bagaimanapun kata beliau, jika tiada kuasa yang boleh menghalang pilihan raya untuk dibatalkan, beliau mengesyorkan tiga perkara yang perlu diikuti sebagai syarat sebelum ia diadakan sebagai usaha terbaik menyekat jangkitan wabak itu.

Pertama ialah tidak ada pergerakan merentas daerah atau negeri dibenarkan untuk tujuan mengundi, tiada perhimpunan ramai diadakan bagi melaksanakan kempen selain tidak ada kunjungan dari rumah ke rumah.

Sebenarnya masih ada kuasa untuk pilihan raya berkenaan iaitu pengisytiharan darurat bagi tempoh tertentu. Tetapi malangnya apabila Muhyiddin bercakap soal itu, ramai ahli politik yang salah tafsir sedangkan memang benarpun hanya darurat sahaja boleh halang pilihan raya.

Untuk Batu Sapi tidak ada masalah, jika semua parti bersetuju dan tidak ada mana-mana individu ‘gatal-gatal’ mahu menjadi calon Bebas, kerusi Parlimen tersebut boleh dikekalkan kepada Warisan melalui kemenangan percuma tetapi bagaimana dengan PRN Sarawak?

Siapa boleh beri jaminan bahawa SOP yang ditetapkan akan dipatuhi oleh parti-parti bertanding? Itu belum lagi mengambil kira kunjung mengunjung kawan-kawan dari semenanjung untuk membantu kempen kecualilah rentas negeri tidak dibenarkan sama sekali seperti mana dicadangkan oleh KKM.

Persoalan lebih besar, adakah SPR mampu menyediakan petugas untuk mengendalikan pilihan raya tersebut sebab ada yang mempersoalkan adakah rakyat Sarawak bersedia merisikokan diri untuk menjadi petugas-petugas SPR.

Sama ada betul atau tidak, sudah ada cakap-cakap dalam laman sosial sekolah-sekolah di negeri itu juga tidak mahu sekolah dijadikan tempat mengundi?

Sebab itulah apabila Muhyiddin bercakap soal darurat apabila menyentuh soal pilihan raya di Batu Sapi dan Sarawak, janganlah ia dilihat dari sudut negatif.

Sebaliknya seperti mana satu pandangan dalam Facebook, Muhyiddin melahirkan rasa kebimbangan amat mendalam terhadap keselamatan dan nyawa rakyat sekiranya kedua-dua pilihan raya itu diadakan.

Apakah ahli-ahli politik pembangkang tidak bimbang situasi di Sabah dan Sarawak, jika pilihan raya diadakan? Tidak sayangkah mereka kepada rakyat negeri itu?

Justeru itulah ramai yang mempertahankan pandangan Muhyiddin mengenai darurat dan nasihat beliau kepada pengundi di kedua-dua negeri tersebut supaya mematuhi SOP.

Sememangnya semua pihak harus menghormati titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang bertitah, tiada keperluan untuk mengadakan darurat dan bersama-sama memerangi Covid-19.

Perlu difahami musuh kita bersama sekarang ialah Covid-19, soal politik kita harus ketepikan buat seketika, oleh itu adalah wajar jika PRK Parlimen Batu Sapi tidak diadakan manakala PRN Sarawak tidak dilaksanakan dalam waktu terdekat. – ZULKIFLEE BAKAR

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan