24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Rehatkan ahli politik, rakyat dan raja bangkit bersama

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh NORDIN ABDUL MALEK

SEMALAM, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah bertitah menasihatkan rakyat khususnya ahli-ahli politik untuk bersama bermuhasabah agar negara ini tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu ketika kita semua masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak Covid-19.

Pada pandangan penulis, apa yang berlaku hari ini adalah kesan perebutan kuasa dan ego golongan politik sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), apabila masing-masing saling bercakaran untuk berkuasa.

Motif kuasa adalah untuk mempertahankan kepentingan peribadi dan ego untuk membuktikan siapakah paling berkuasa.

Perjuangan demi rakyat yang dilaung-laungkan sebenarnya sekadar retorik yang bertujuan mengaburi mata dan pemikiran rakyat supaya mengundi dan memenangkan mereka dalam pilihanraya.

Hakikatnya, sesudah mandat diberikan, yang berkuasa memerintah lupa tanggungjawab, yang menjadi pembangkang gagal berfungsi sebagai kumpulan check and balance yang kuat dan yang kalah atau hilang kuasa pula terus hilang entah ke mana.

Dalam keadaan lemah akibat tidak memiliki majoriti yang kukuh, ditambah pula masalah tuduhan mahkamah yang menjadi beban (liabiliti), akhirnya rakyat diheret untuk menjadi mangsa keadaan oleh parti politik. Dengan keadaan ancaman pandemik Covid-19, derita rakyat menjadi berlipat.

Politik dendam yang tersemai sejak PRU-14 telah memungkinkan arena politik bagaikan satu kawasan yang mahu direbut oleh dua kumpulan kongsi gelap.

Sebenarnya masing-masing mempunyai masalah, kesalahan dan kesilapan besar peribadi yang mahu dipertahankan, maka pemimpin-pemimpin parti politik percaya bahawa ‘Siapa Berkuasa Akan Selamat’ dan boleh membenamkan kuasa politik musuh.

Dalam keadaan parti-parti politik berpecah belah ditambah pula tidak majoriti selamat, semua pemimpin terpaksa mencari rakan strategik baru untuk berkuasa. Mandat yang diberikan untuk menjadi wakil rakyat entah ke mana.

Ketika menolak untuk menyertai gerombolan parti politik dan bertanding dalam PRU14 lalu, berdasarkan analisis dan nasihat veteran politik yang berpengalaman, penulis sudah menjangkakan kekalutan ini akan berlaku.

Sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) menguasai kerajaan pada tahun 2018, penulis telah dijemput menghadiri satu perbincangan mengenai masa depan politik dan kerajaan baru.

Penulis (dua dari kiri) turut mendengar titah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V
yang ketika itu Tengku Mahkota Kelantan di Perhimpunan Perpaduan Melayu
di Kuala Lumpur pada 12 April 2008
.

Penulis menggariskan 9 cabaran yang akan menjadi halangan besar kepada PH untuk kekal berkuasa dan membawa keharmonian kepada rakyat Malaysia.

Advertisements

Selain itu penulis juga meramalkan kerajaan pakatan itu hanya akan bertahan tidak sampai dua tahun dan ternyata ia menjadi kenyataan.

Pada pandangan penulis, situasi politik dan keadaan ancaman wabak Covid-19 ini sudah sampai ke tahap mencemaskan. Wajar diingat, impak wabak ini sahaja sudah cukup untuk menyeksakan.

Apatah lagi dengan suasana politik yang semakin kalut. Silap gaya, impak kepada negara akan berlipat kali ganda berbanding negara lain yang mungkin sistem politiknya stabil.

Usaha memerangi Covid 19 dan impaknya memerlukan disiplin kestabilan kerajaan dan rakyat yang tinggi. Negara China telah membuktikan hal ini. Namun kita bukanlah mahu meniru sistem pemerintahan mereka tetapi melihat sistem pengurusan negara yang berdisiplin dan kemas.

Maka penyelesaiannya ialah seluruh rakyat perlu bernaung di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Rehatkan seketika kuasa dan sengketa politik Malaysia.

Jika perlu care taker government dilantik mentadbir negara, maka lakukanlah supaya jentera kerajaan dan rakyat dapat memberi fokus kepada cabaran pada masa ini.

Berilah pengajaran kepada semua pihak sama ada parti politik, pengikut dan rakyat keseluruhannya untuk mencari muka baru, wadah baru dan model baru untuk menguruskan politik tanah air.

Muka-muka yang menjadi dinosaur yang juga pencetus masalah politik tanahair wajar dikuarantin selamanya kerana selagi mereka ini berlegar dengan niat dan dendam kesumat antara satu sama lain, selagi itulah Malaysia tidak akan aman.

Tidak kira tua atau muda, Pak Lebai, Apek atau Ahne , Melayu, Cina atau India yang mencetuskan masalah, pastikan direhatkan demi negara.

Sesudah reda pelbagai isu utama negara, kembalikan demokrasi dengan persediaan wadah politik yang lebih bersifat baharu, dinamik dan diyakini akan membawa keharmonian masa depan negara.

Nampaknya, di sinilah peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membawa suara rakyat serta tidak bersifat partisan untuk bergabung dalam kebangkitan suara rakyat. Inilah yang pernah penulis lakukan sebagai inisiatif bersama pelbagai NGO pada tahun 2008.

NGO-NGO berhimpun dan bergabung memperbaiki keadaan. Ketika itu, bibit kekalutan politik ini sudah berlaku dan pelakon-pelakon yang menjadi pencetus masalah adalah orang-orang politik yang sama hari ini..

Bila politik kalut, maka Raja-Raja Melayulah tempat sekelian rakyat berteduh dan memperbaiki keadaan. Hormat rakyat terutama Melayu adalah pada Raja Melayu.

Bernasib baiknya kita kerana budaya rakyat kita tidak seghairah Indonesia dan Thailand yang ketika ini mula berantakan di jalanan sebagai tanda protes dan tekanan akibat Covid-19.

Demi negara dan masa depan kita, sekelian patik memohon budi bicara Tuanku Raja-Raja Melayu.

  • Penulis adalah Pengerusi Pembangunan Komuniti Perak Tengah. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Edisi 9.
Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan