32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Guan Eng ditahan SPRM, didakwa di mahkamah esok

Mesti Baca

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam ini mengesahkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ditahan berhubung siasatan kes terowong dasar laut Pulau Pinang.

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan hadir di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 9.10 malam dengan menaiki sebuah kenderaan Toyota Vellfire berwarna putih.

SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya telah mendapat izin Peguam Negara bagi menuduh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu di Mahkamah Khas Rasuah, Jalan Duta, esok.

Beliau akan didakwa pukul 9 pagi esok mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Selain itu, Guan Eng juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada 10 Ogos mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

“Kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang ini adalah bersangkutan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, SPRM turut mendapat izin mendakwa daripada Peguam Negara untuk Guan Eng bagi kes berlainan pada 11 Ogos ini.

Beliau akan didakwa pada pukul 9 pagi di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang atas kesalahan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sejak Julai lalu, Guan Eng sudah dipanggil ke ibu pejabat SPRM sebanyak tiga kali bagi mendapatkan petunjuk terbaru melibatkan kes pembinaan terowong bawah laut Pulau Pinang yang menelan kos RM6.3 bilion.

Sehingga kini, lebih 12 individu telah disoal siasat berhubung kes penyelewengan berkenaan termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang seperti Jagdeep Singh Deo, Chong Eng dan Phee Boon Poh.

SPRM juga difahamkan turut mengadakan serbuan ke pejabat Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari dan Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy di Komtar, Pulau Pinang.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Jeffrey Chew Gim Eam direman selama empat hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah projek terowong dasar laut terbabit. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan