24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Syed Saddiq jangan bimbang, Mahathir pasti akan tolong

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – “KALAU nak ambil parti, ambillah. Kalau nak buang nombor keahlian saya, buanglah. Saya tidak akan melengah-lengahkan usaha tuan-tuan sekalian. Saya akan mencipta ruang untuk membina negara. Bagi saya, rakyat dan negara itu paling utama.”

Ini luahan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berikutan tindakan bekas partinya, Bersatu melantik Ketua Armada yang baru menggantikan beliau.

Tetapi Syed Saddiq tidak perlu kecewa sangat. Kalau beliau berhasrat untuk pergi jauh dalam politik, itulah asam garamnya. Politik bukan sekadar pandai bercakap, berhujah atau berdebat tetapi juga perlu ada strategi.

Jatuh, bangun, dikhianati, dipinggirkan, dikecam, dihina, dikritik adalah ‘makanan’ ahli politik. Syed Saddiq kena bersabar dan belajar daripada pengalaman untuk menjadi ahli politik berjaya.

Contohi ketabahan Khairy Jamaluddin yang pernah ‘diejek’ di Perhimpunan Agung UMNO ketika kali pertama menjadi Ketua Pemuda UMNO. Tapi Khairy tidak kisah, beliau terus tabah dan kini menjadi salah seorang ahli politik muda dihormati.

Berbanding nasib Khairy pada masa itu, Syed Saddiq kini lebih beruntung dan tidak perlu bimbang kerana selain Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr.Maszlee Malik, beliau berada ‘sekapal’ dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Sudah pasti ‘ayahanda Mahathir’ tidak akan membiarkan seorang pemuda yang mencabar sesiapa yang mahu menjatuhkan bekas Perdana Menteri itu melangkah mayat beliau terlebih dahulu terkontang-kanting tanpa hala tuju.

Lagipun ‘ayahanda Mahathir’ yang membolehkan Syed Saddiq mencipta rekod sebagai menteri paling muda biarpun hanya dapat merasai nikmat itu selama 22 bulan.

Kalau hubungan mereka masih erat, Syed Saddiq boleh berbincang dengan idolanya itu bagi mendapatkan panduan bagaimana mahu meneruskan perjuangan sebagai ahli Parlimen tanpa parti.

Advertisements

Apatah lagi selama ini Syed Saddiq cukup rapat dengan Mahathir sehingga khabarnya hubungan itu menimbulkan perasaan cemburu dalam kalangan pemimpin-pemimpin senior dalam Bersatu. Sekarang tidak ada sesiapa lagi nak cemburu kerana Syed Saddiq dan Mahathir bukan lagi ahli Bersatu.

Mungkin Syed Saddiq boleh cadangkan kepada Mahathir untuk menubuhkan parti baru, mana lah tahu, kalau ada rezeki, mungkin nanti Mahathir boleh cadangkan pula Syed Saddiq sebagai Timbalan Perdana Menteri. Jangan rasa pelik sebab dalam politik segala berkemungkinan.

Atau pilihan lain Syed Saddiq boleh mohon sertai mana-mana parti-parti pembangkang, sama ada PKR, DAP mahupun Amanah. Mungkin salah satu parti tidak keberatan menerima beliau yang juga seorang Ahli Parlimen sebagai barisan pemimpin pelapis.

Lagipun Syed Saddiq pun sudah menyatakan, ”Kita perlu lebih ramai belia dalam politik, bukannya orang tua yang berebut kuasa. Berkhidmat untuk memimpin.” 

Jadi Syed Saddiq, janganlah sedih sangat, kalau orang tak mahu seperti mana beliau kata, ‘masa untuk saya pergi’ – silakan sahaja. Bawa haluan sendiri, bukankah Syed Saddiq pun telah bersedia menempuh apa sahaja apabila berkata,’’..jalan yang saya ambil ini bukan senang. Jauh sekali ingin menjamin masa hadapan yang baik untuk diri.’’

Semoga Syed Saddiq akan menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran dan menilai semula langkah politiknya jika beliau benar-benar mahu berjaya. Inshaallah, kalau beliau tabah pasti boleh melepasi segala cabaran seperti mana beliau berjaya memanjat pagar satu ketika dahulu.

Cuma Syed Saddiq perlu faham, dunia politik mempunyai seninya tersendiri. Bagui penuli, tidur bermalam dalam kereta seperti mana beliau nyatakan, hanyalah pengorbanan kecil untuk sebuah perjuangan. Ahli-ahli politik hebat dahulu melakukan pengorbanan lebih dahsyat lagi ketika mahu memperjuangkan parti mereka.

Lagi satu jangan mudah sangat anggap kawan-kawan politik ini ‘adalah keluarga saya’, dalam politik kena pegang ‘falsafah’ tiada musuh dan kawan yang kekal, kawan boleh menjadi musuh, musuh boleh menjadi kawan, kalau tak faham boleh tanya ‘ayahanda Mahathir’. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan