SIKAP Ketua Pemuda Sosialis DAP, Howard Lee yang menolak gencatan politik anjuran Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menunjukkan sikap hipokrit Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Hafiz Tengku Putera berkata, mereka juga bersikap mementingkan diri sendiri dan mengambil jalan mudah dengan menyalahkan UMNO atas segala kegagalan mereka sepanjang 22 bulan berkuasa dahulu,
Berikut adalah kenyataan penuh beliau:
Kenyataan Howard Lee, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang menolak gencatan politik anjuran Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semalam adalah sangat memualkan.
Ia menonjolkan sisi hipokrit dan sikap pentingkan diri parti pembangkang ini sehingga mereka menyalahkan UMNO di atas setiap kegagalan Pakatan Harapan.
Sedangkan hakikatnya, kejatuhan PH berlaku selepas Tun Mahathir enggan menerima pujukan Yang Di Pertuan Agong (YDPA) agar tidak meletakkan jawatan.
Bagaimana boleh dipersalahkan UMNO sedangkan kepimpinan tertinggi parti kami sebelum ini berulang kali berikrar untuk menolak sebarang undi tidak percaya ke atas Tun Mahathir di Parlimen?
Keruntuhan PH telah mewujudkan vacuum of power (kelompangan kuasa) di dalam negara.
UMNO hanya mentaati kuasa dan keputusan YDPA bagi melantik TS Muhyiddin sebagai PM ke 8 walaupun asalnya kami bersama-sama dengan PAS memilih pembubaran parlimen.
Kuasa YDPA dalam hal pelantikan Perdana Menteri ini tersusun kemas di dalam Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan budi bicara yang luas kepada baginda.
Apakah DAP hari ini mahu mempertikaikan hak dan kuasa Raja-Raja Melayu pula?
Kenyataan Dato Dr Asyraf Wajdi Dusuki hanyalah bertujuan bagi memelihara kebajikan rakyat serta kesejahteraan hidup bernegara.
Polemik keterlaluan hanya akan menambah kebencian rakyat kepada budaya politik sedangkan negara sepatutnya memerah keringat bagi menyelesaikan isu-isu yang lebih utama.
Rakyat sudah tentunya mahukan keadilan bagi Arwah Adib, pembongkaran isu sebenar berkenaan institusi rakyat seperti Tabung Haji serta keadilan bagi kes-kes yang melibatkan pimpinan parti di kedua-dua belah pihak.
Kewujudan kerajaan hari ini walaupun bukan dalam keadaan yang UMNO memilih, adalah satu rahmat besar kepada negara.
Selama 22 bulan, ekonomi negara menjadi suram. Pasaran saham negara diiktiraf terburuk di dunia bagi tahun 2019.
Hutang negara meningkat melebihi angka RM800 bilion, dana Petronas dijarah berpuluh bilion, aset-aset strategik negara dijual ke tangan orang asing, pelacuran institusi keadilan berlaku apabila kes-kes berkaitan menteri yang sedang berjalan ketika itu digugurkan oleh Peguam Negara serta kecurigaan antara kaum yang tidak terkawal.
Sedangkan pada hari ini, segalanya berubah. Kementerian Kesihatan berjaya menangani COVID-19 sehingga kita dianggap antara negara paling berjaya di dunia dalam mengekang wabak ini
Pasaran saham kita meningkat naik. Contohnya pada 18 Mei 2020, jumlah dagangan harian adalah sebanyak 11.2 bilion unit iaitu tertinggi dalam sejarah negara.
Ia membuktikan keyakinan tinggi pelabur terhadap polisi dan dasar ekonomi hari ini.
Isu arak yang gagal ditangani oleh kerajaan PH insya-Allah akan diselesaikan oleh Menteri Undang-Undang melalui pembentangan pindaan akta berkaitan pada bulan hadapan.
Kerajaan hari ini hanya memerlukan kurang 6 bulan bagi meminda undang-undang sedangkan kerajaan lama gagal melakukannya dalam tempoh hampir 2 tahun
Penyelesaian isu mahasiswa IPT yang terkandas ketika wabak menunjukkan kejayaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam membantu menurunkan kadar wabak.
Pengajian IPT yang disambung secara atas talian melalui pemerkasaan sistem dan kaedah pengajaran memberikan tanda bahawa KPT sedang dalam transformasi normal baru bagi mahasiswa negara
Malahan rakyat sangat gembira dengan kerajaan hari ini yang sentiasa fokus dan tidak terganggu dengan ancaman politik pembangkang.
Sidang media Perdana Menteri dan Menteri Kanan (Keselamatan) terutamanya hanya menyampaikan maklumat dan kaedah penyelesaian.
Bukannya politik murahan. Kedua-duanya menonjolkan kualiti kepimpinan yang negara ini telah hilang selama 22 bulan.
Kami di Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu memberi amaran kepada DAPSY dan sekutu mereka agar tidak menjadi anasir yang menggangu kestabilan kerajaan.
Pemuda UMNO sentiasa bersedia menjadi benteng yang mempertahankan keharmonian negara daripada ancaman luar dan dalam. – EDISI 9