31 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 9, 2024

i-Guru gesa tindakan tegas kerajaan pihak ancam keharmonian kaum, agama

Mesti Baca

KERAJAAN digesa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menimbulkan isu yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama.

Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, perkara itu bagi menjamin semua pihak supaya sentiasa patuh dan akur dengan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan dan menjunjung prinsip Rukun Negara.

Menurutnya, i-Guru turut menggesa Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) supaya tidak campur tangan urusan agama Islam yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan.

“Tindakan MCCBCHST ini boleh menggugat keharmonian kaum dan agama serta melanggar titah ke bawah Yang di-Pertuan Agong supaya tidak menyentuh hal yang berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, MCCBCHST menyatakan kebimbangan mendalam terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

Advertisements

MCCBCHST dilaporkan berkata, bahawa Perkara 12(2) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menghalang rakyat Malaysia menerima arahan dalam mana-mana agama selain agama mereka.

Kumpulan itu berkata, kerajaan dan menteri pendidikan mesti berpandukan perlembagaan dan tidak membenarkan agama mempengaruhi dasar pendidikan.

Dalam pada itu, Mohd Azizee berkata, i-Guru menyokong dan mempertahankan usaha kementerian melancarkan Modul Hadis 40 Iman Nawawi sebagai wahana pengukuhan kefahaman Islam kepada murid-murid yang beragama Islam.

“Semua pihak perlu menyokong hasrat murni ini yang berpaksikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selangor sah tarik diri Piala Sumbangsih bertemu JDT

SELANGOR FC (SFC) membuat keputusan untuk menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’azim di Stadium Sultan...

Lagi Artikel Berkaitan