SATU siasatan akan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan video tular di media sosial mendakwa seorang anggotanya memeras ugut orang awam.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi satu minit 48 saat di aplikasi TikTok yang pada pukul 11 malam, 2 April lalu.
Katanya, video di akaun @cs_kuan itu memaparkan seorang anggota Polis memakai uniform sedang menjalankan pemeriksaan ke atas seorang individu berlatar belakangkan papan tanda Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Datuk On, Kuala Lumpur.
“Siasatan awal yang dijalankan mendapati individu di dalam video tular tersebut mendakwa telah diperas ugut anggota Polis tersebut kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.
“Anggota Polis dan individu yang telah dikenal pasti terlibat akan dipanggil ke lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk diambil keterangan bagi siasatan yang dijalankan.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada itu, Polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tapa sumber yang sahih dan tepat.
“Sekiranya mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh menghubungi IPD Dang Wang di talian 03-2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran,” ujarnya. – Edisi 9

